IPOH – Perak membelanjakan sebanyak RM57.71 juta khusus bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu merangkumi tujuan pengambilan tanah untuk kepentingan awam (RM33 juta) dan pelbagai kerja-kerja menaiktaraf, penyelenggaraan atau pembaikan pelbagai kompleks pentadbiran kerajaan negeri (RM16.6 juta).
Beliau berkata, selain itu, kira-kira RM200,000 turut disediakan bagi menampung peruntukan di bawah Akaun Amanah Kajian.
“Di samping itu, peruntukan tersebut turut diberikan kepada Bahagian Pengurusan Maklumat bagi tujuan pelbagai pembangunan dan penyelenggaraan teknologi maklumat (ICT); Pembangunan Sistem e-Belanjawan Perak dan e-Projek dan pelbagai projek atau program yang akan dilaksanakan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
“Sebanyak RM200,000 juga disediakan kepada setiap Jawatankuasa Tetap Exco dengan implikasi keseluruhan bernilai RM2.2 juta untuk memantap dan memperkasakan portfolio Exco serta berupaya melaksanakan fungsi dan peranan yang dipertanggungjawabkan dengan lebih cekap serta berkesan.
“Peruntukan itu turut melibatkan pelbagai program Kesatuan Sekerja; dan sumbangan Urus Tadbir Persatuan Sukan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Jumaat.
Katanya, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk pelbagai program luar negara dengan memfokuskan misi pelaburan ke luar negara dalam usaha menarik minat para pelabur ke negeri ini.
“Dana sebanyak RM500,000 turut diberikan kepada Program Perak International Conference and Exhibition (PRICE) sebagai platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman ahli ekonomi, teknokrat dan pakar industri.
“Ini bagi mengukuhkan hubungan jaringan perniagaan di peringkat serantau dan global serta meningkatkan tahap keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap kerajaan negeri,” jelasnya.
Tambahnya, bagi memastikan Perak Investment Management Centre (Invest Perak) dapat meneruskan peranan penting sebagai Centre of Investment serta menarik lebih banyak pelabur, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM3 juta bagi tahun depan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MB Perak umum Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji penjawat awam