Perak belanja RM15 juta baik pulih, bina baharu masjid

IPOH – Kerajaan Negeri Perak meneruskan peruntukan RM15 juta bagi inisiatif baik pulih dan bina baharu masjid serta surau di seluruh negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebanyak RM5 juta pula dibelanjakan bagi program Menaik Taraf Institusi Pendidikan Islam.

Katanya, ia adalah komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menjunjung kemuliaan Islam sebagai agama rasmi serta memperkasa institusi ke arah pemantapan pembangunan ummah.

Jelas beliau, kerajaan negeri tidak pernah mengendurkan walau seinci komitmen dalam melunaskan tanggungjawab memelihara serta menyuburkan kemuliaan syiar Islam.

“Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) diberikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM111.9 juta, iaitu peningkatan mencecah RM9.3 juta berbanding tahun ini.

“Ia meliputi RM105 juta bagi operasi jabatan, Institut Tadbiran Islam Perak, pengurusan masjid, Sekolah-sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri.

“Manakala RM6.9 juta disediakan untuk penyelenggaraan enam masjid utama negeri, menaik taraf Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta menaiktaraf pejabat-pejabat agama daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Tambah Saarani, kerajaan negeri turut memperkasakan peranan Jabatan Kehakiman Syariah sebagai penegak hukum dan pemelihara institusi keluarga.

Kata beliau, justeru RM17.4 juta disalurkan kepada institusi terbabit dengan peningkatan RM1 juta berbanding belanjawan tahun ini.

“RM2.35 juta pula diperuntukkan di bawah maksud mengurus kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak.

“Manakala Jabatan Mufti Negeri Perak diperuntukkan RM4.5 juta bagi melaksanakan peranan dan fungsi penting dalam pelbagai program dan inisiatif menjaga keutuhan agama Islam,” jelasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Masjid seluruh negara disaran laksana konsep masjid hijau

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI