IPOH – Kerajaan Perak menerusi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sentiasa mengambil maklum berhubung kesesakan yang berlaku di Klinik Kesihatan (KK) di seluruh negeri ini.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, antara yang diberi perhatian termasuklah KK Kamunting.
Menurutnya, klinik tersebut telah dinaik taraf secara berperingkat melalui peruntukan pembangunan pada tahun 2023 dan 2024 untuk meningkatkan tahap keselesaan kepada pesakit dan kakitangan yang bertugas.
“Antara ruang yang telah dilaksanakan projek naik taraf adalah Unit Kesihatan Ibu dan Anak (MCH) bagi tujuan penambahan ruang klinikal serta ruang menunggu pesakit dengan nilai projek berjumlah RM 300,000.
“Sebagai perancangan jangka masa pendek, masa operasi Klinik Kesihatan Kamunting telah dipanjangkan sehingga 9.30 malam bagi menampung permintaan perkhidmatan rawatan pesakit luar bermula Isnin sehingga Jumaat setiap minggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Fakhruddin Abd Aziz (PN-Kamunting) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Sivanesan memaklumkan, sebagai perancangan jangka masa panjang, JKN Perak telah merancang dan mencadangkan pembangunan fasiliti baharu (gantian) dalam projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan datang.
“Bagi tujuan tersebut JKN Perak telah memuktamadkan tapak baharu di Taman Panglima, Taiping bagi projek pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 (KK3) yang baharu di mana jarak dari KK Kamunting ke tapak projek baharu ini cuma 5.0 kilometer (km) manakala jarak dari KK Taiping ke tapak cadangan ini adalah 6.0 km.
“Cadangan ini bertujuan bagi mengurangkan kesesakan pesakit di kedua-dua klinik tersebut dan Pelan Piawai KK3 dicadangkan dapat menampung pesakit sehingga 700 pesakit sehari.
“Projek ini diberi keutamaan tinggi dalam pelan induk fasiliti kesihatan JKN Perak dan urusan pewartaan tanah dijangka selesai menjelang Jun 2025,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Isu waktu operasi Klinik Kesihatan Tanjong Malim dibawa ke perhatian KKM – Exco