IPOH – Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran, sungai-sungai, rumah pam banjir dan pam bergerak banjir secara berkala setiap tahun melibatkan beberapa daerah di negeri ini.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, antara kawasan yang diberi tumpuan adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang.
Menurutnya, sebanyak RM2.2 juta termasuk kajian rekabentuk rumah pam Pekan Kuala Sepetang dibelanjakan bagi tujuan tersebut.
“Satu projek menaik taraf rumah pam berhampiran Masjid Tengku Menteri, Matang Road sedang dibina oleh JPS dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2025.
“Pada masa sama, satu kajian rekabentuk rumah pam Pekan Kuala Sepetang telah dilaksanakan dimana laporan akhir telah siap sepenuhnya pada suku kedua tahun ini.
“Selain itu, kerajaan negeri melalui JPS turut merancang langkah mitigasi jangka masa panjang dengan memohon Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Larut Fasa 2 di dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dengan anggaran kos sebanyak RM70 juta,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahmad Man (PN-Kuala Sepetang) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Nizar memaklumkan taburan hujan juga dijangka lebih tinggi dengan kapasiti yang luar biasa mulai bulan Oktober hingga Mac 2025 di Daerah Larut, Matang dan Selama serta seluruh Perak.
“Berdasarkan permohonan dan aduan yang diterima, Pejabat Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) telah menyelaras senarai permohonan kawasan yang memerlukan penyelenggaraan serta mengorek pulih longkang dan parit tanah dengan segera berikutan kawasan-kawasan berkenaan sering dinaiki air banjir.
“Bagi tujuan tersebut, Pejabat Daerah LMS telah diluluskan peruntukan kecemasan berjumlah RM1.048 juta bagi 38 projek penyelenggaran longkang atau parit tanah dan bina baharu longkang.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 projek beranggaran RM360,000 akan dilaksanakan di kawasan hotspot dalam DUN Kuala Sepetang,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Hujan lebat, air pasang, sistem saliran, punca banjir di Perak – JPS