IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah mengagihkan RM138.47 juta dana zakat kepada semua asnaf di negeri ini melalui pelbagai skim bantuan, dalam tempoh Januari sehingga Oktober lalu.
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi teks Khutbah Jumaat berkata, daripada jumlah itu, seramai 12,000 penerima kategori fakir miskin telah memperoleh manfaat menerusi agihan Bantuan Kewangan Bulanan berjumlah RM47 juta.
Katanya, di samping itu, MAIPk turut menyalurkan RM6 juta bagi bantuan perubatan, bantuan rawatan hemodialisis (RM12 juta) dan bantuan persekolahan kepada lebih 26,000 pelajar (RM5 juta).
Tambahnya lagi, turut disalurkan RM9.6 juta kepada Bantuan Am Pelajaran fakir miskin dan fisabilillah bagi menampung pendaftaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Sejak tahun 2021 sehingga kini, MAIPk telah membina 409 rumah dan membaik pulih 1,035 rumah (masing-masing bagi kategori penerima) fakir miskin.
“Sementara itu, 954 pelajar miskin yang cemerlang diberi Bantuan Biasiswa Pelajaran Baitulmal; serta 1,191 asnaf fakir miskin diberi latihan keusahawanan dalam pelbagai bidang hingga berjaya meningkatkan pendapatan,” katanya.
Teks Khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Kewajipan Membayar Zakat Harta Perolehan’ itu dibacakan di masjid dan surau diri Jumaat seluruh Perak.
Dalam pada itu JAIPk menerusi teks sama meminta agar semua Umat Islam untuk menyegerakan pembayaran zakat sebelum penghujung Disember ini.
Katanya, ia bukan sahaja sebagai melaksanakan kewajipan agama, malah memberi manfaat langsung kepada pembayar zakat yang layak melalui rebat cukai pendapatan 100 peratus.
Pada masa sama katanya lagi, zakat harta bukan sahaja terdiri daripada zakat perniagaan, simpanan,emas dan perak sahaja.
Jelasnya, malah perolehan daripada gaji dan upah yang diterima setiap bulan juga turut termasuk sebagai harta yang diwajibkan zakat.
“Hikmah pensyariatan ibadah zakat bertujuan menyucikan dan menambah keberkatan harta.
“(Selain itu ia juga dapat) membersihkan jiwa daripada sifat-sifat mazmumah seperti tamak serta memupuk sifat ihsan iaitu bersedia membantu golongan yang memerlukan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: