TAPAH – Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri ayam di beberapa pasar awam sekitar daerah Batang Padang melibatkan kerugian lebih RM27,000.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, suspek berusia antara 33 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di Rawang, Selangor pada Isnin lalu.
Menurutnya, mereka bergerak secara berkumpulan dengan menaiki lori sendiri atau disewa bagi mengangkut bakul-bakul ayam yang dicuri.
“Dua suspek melakukan kerja mencuri manakala seorang lagi akan membeli bekas plastik kosong yang digunakan untuk meletakkan ayam.
“Hasil siasatan mendapati kumpulan tersebut mencuri 66 bakul mengandungi ayam bernilai lebih RM27,000,” katanya pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan menerusi tangkapan tersebut, polis telah berjaya menyelesaikan enam kes curi ayam.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Susulan penahanan itu, dua suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri manakala seorang lagi suspek direman dua hari bermula Selasa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: