IPOH – Nga Kor Ming menempelak tindakan PAS yang mengkritik penganjuran sambutan Hari Krismas yang diadakan di Pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya, baru-baru ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, tindakan parti itu disifatkan sebagai ‘hipokrasi darjah tertinggi’ apabila mempersoalkan sambutan Krismas yang diadakan.
Jelasnya ini kerana, sedangkan pada waktu sama ada pemimpin parti berkenaan yang mengucapkan selamat menyambut perayaan berkenaan sebagaimana yang dilaporkan media, baru-baru ini.
Tegas beliau, KPKT sentiasa meraikan semua perayaan yang disambut di negara ini sebagaimana selari dengan semangat perpaduan dan muhibbah dalam masyarakat di Malaysia.
“Sepertimana dalam video tular itu, kakitangan KPKT yang terlibat menyanyikan lagu Krismas adalah pegawai dari Sabah dan Sarawak, majoritinya berketurunan Kadazan yang meraikannya.
“Kita menghormati umat Islam untuk merayakan Hari Raya Aidilfitri. Pada masa yang sama, kita juga menghormati warga Kristian untuk menyambut Krismas.
“Kita meraikan dan merayakan semua perayaan, dan untuk itu kita tidak akan tunduk kepada ketaasuban dan ekstrimis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penutup Sentuhan Kejayaan KPKT di Meru Raya, dekat sini, pada Jumaat.
Di samping itu, beliau juga meminta agar pemimpin parti itu untuk mengambil iktibar daripada kes melibatkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang terpaksa memohon maaf berkaitan isu fitnah kibaran bendera China di Menara Condong, Teluk Intan Oktober lepas.
“Saya nasihatkan PAS bertaubat, kembali ke pangkuan jalan, jangan sesat seribu sesat.
“Seperti saya baru terima permohonan maaf daripada Pesuruhjaya PAS Perak yang telah mohon maaf kepada saya dan bayar fi guaman RM5,000 atas fitnah yang telah dilemparkan,” katanya lagi.
Kor Ming yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP menambah, agar semua pihak memahami titah Yang di-Pertuan Agong bahawa kepelbagaian budaya adalah keistimewaan negara kita.
Beliau juga secara sinis turut berkata, akan menjemput pemimpin PAS bagi sama-sama meraikan perayaan Aidilfitri yang akan diadakan nanti.
“Masyarakat terutama Umat Islam yang saya kasihi diminta untuk menjauhi parti yang menyebarkan ajaran tidak bertanggungjawab dengan cuba merosakkan perpaduan negara.
“Saya akan jemput pemimpin PAS datang apabila saya buat sambutan Hari Raya Aidilfitri. Saya harap pemimpin PAS akan bawa kompang datang bersama, nyanyikan lagu nasyid untuk kita raikan Aidilfitri,” katanya.
Kor Ming sebelum itu diminta mengulas berkenaan kenyataan Pemuda PAS yang menganggap tindakan Menteri KPKT itu secara terbuka menganjurkan sambutan Krismas di pejabat kerajaan dan melibatkan penyertaan umat Islam adalah tidak wajar.
Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar juga mendakwa, penganjuran tersebut bertentangan dengan prinsip sensitiviti agama yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta melanggar batas-batas akidah umat Islam.
Pada Selasa lalu, Kor Ming memuat naik video berdurasi satu minit 48 saat di aplikasi X yang memaparkan nyanyian dan sambutan perayaan krismas di pejabat kementeriannya.
Pada Rabu media melaporkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada penganut beragama Kristian di seluruh negara yang menyambutnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemuda Pas dakwa sambutan Krismas KPKT langgar batas akidah Islam
[…] Video sambutan Krismas: Kor Ming sifatkan PAS hipokrit […]