Guru dera pelajar: JKM sedia beri kaunseling kepada mangsa, keluarga

GERIK – Kerajaan Perak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia menawarkan perkhidmatan kaunseling jika diperlukan kepada kanak-kanak yang didakwa menjadi mangsa dera oleh seorang guru di sebuah sekolah di Jelapang, Ipoh.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, perkhidmatan itu lazimnya akan disediakan Bahagian Psikologi dan Kaunseling JKM.

Katanya, walau bagaimanapun beliau yakin Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah mengambil maklum hal berkenaan selain telah melakukan tindakan sewajarnya.

“JKM sememangnya ada Bahagian Psikologi dan Kaunseling yang bersedia untuk menawarkan khidmat sokongan kepada kanak-kanak itu.

“Namun dalam isu itu, kita serahkan kepada pihak polis dan JPN untuk siasatan serta tindakan selanjutnya. Dan saya yakin JPN juga akan menawarkan khidmat kaunseling kepada kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Training of Trainers Community Empowerment anjuran AADK Hulu Perak di Dewan Mahkamah Syariah Gerik, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua AADK Hulu Perak, Mohamad Hafiz Mohd Idris serta Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood.

JKM sedia beri khidmat kaunseling kanak-kanak didakwa didera guru JPN anak ibu Salbiah
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berucap pada program ‘Training of Trainers (TOT) Community Empowerment’ anjuran AADK Hulu Perak di Dewan Mahkamah Syariah Gerik, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JANUARI 2025.

Pada masa sama, Salbiah memberitahu, JKM juga dengan tangan terbuka turut bersedia untuk memberi perkhidmatan sama kepada ibu kanak-kanak berkenaan sekiranya wanita itu memerlukan.

“Kita juga boleh menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada ibu kanak-kanak itu, yang mungkin berhadapan trauma atau tekanan daripada isu yang dihadapi anaknya,” jelas beliau.

Salbiah sebelum itu diminta mengulas berkenaan laporan media tentang seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mengalami kecederaan termasuk luka dan lebam didakwa akibat didera guru di sebuah sekolah di Jelapang.

Ibu mangsa, Aiza Salzul Hanira Zulkapli, 42, dilaporkan berkata kejadian sejak September lalu itu melibatkan seorang guru wanita berusia lingkungan 30-an semasa anaknya mengikuti pendidikan pra di sekolah berkenaan.

Wanita yang juga ibu tunggal itu mendakwa selain kecederaan fizikal, susulan daripada insiden tersebut, anak tunggalnya itu turut mengalami gangguan emosi, murung serta tidak mahu ke sekolah. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Ibu tunggal dakwa anak didera guru, alami gangguan emosi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI