KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ yang ditulis Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC),10 Januari lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya sedang menunggu arahan daripada AGC bagi tindakan selanjutnya.
“Buat masa ini, sebanyak 182 laporan polis berkaitan isu berkenaan telah diterima.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Kanun Keseksaan dan kertas enkuiri polis (KEP),” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Pada Disember lalu, Ahli Parlimen Segambut itu membuat laporan polis berhubung penyebaran mesej dan video memberi gambaran kononnya beliau berhasrat untuk memurtadkan orang Islam atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.
Hannah dilapor berkata, laporan itu dibuat kerana menyifatkan video terbabit berniat jahat dan boleh menjejaskan proses rayuannya berhubung kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah difailkan terhadap Musa berhubung kenyataan dibuat bekas Ketua Polis Negara itu pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu.
Saman itu difailkan pada 3 Julai 2020 mendakwa Musa dengan niat jahat membuat kenyataan tidak benar terhadap Yeoh pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah menulis buku bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara. – MalaysiaGazette