IPOH – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menyifatkan peningkatan peruntukan untuk program STR mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meringankan beban kos perbelanjaan harian rakyat kurang berkemampuan.
Pesara, Isa Abdullah, 72, berkata langkah itu itu amat membantu khususnya dalam hal pembelajaran anaknya yang kini sedang menuntut di sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Sungai Besar, Selangor.
Bapa kepada tujuh cahaya mata itu berkata meskipun anak-anaknya yang lain turut membantu menguruskan perbelanjaan anak bongsunya itu, dia tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada mereka.
“Masing-masing mempunyai komitmen sendiri … jadi, secara tak langsung sebahagian daripada jumlah bantuan STR ini akan saya sediakan untuk urusan perbelanjaan anak di IPTA terutama membabitkan hal-hal kecemasan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Pada 21 Jan lepas, Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan peruntukan STR tahun ini meningkat kepada RM2.3 bilion berbanding RM2.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Kenyataan sama turut menjelaskan pembayaran akan dibuat melalui pengkreditan ke akaun bank penerima berdaftar atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.
Pekerja butik, Nurliza Samsul Rijal, 41, berkata selaku penerima STR bagi kategori golongan berkeluarga, wang itu akan digunakan sebaiknya untuk membeli barangan keperluan asas keluarganya.
“Kalau nak ikutkan cukup atau tidak, beri berapa banyak pun memang tidak akan cukup, namun STR ini amat membantu meringankan beban sesebuah keluarga.
“Alhamdulillah rezeki yang ada akan digunakan sebaik mungkin untuk menampung keperluan keluarga saya, terima kasih Kerajaan MADANI,” katanya.
Suri rumah Nor Hanis Shamsi, 34, pula menyifatkan program STR mampu mengurangkan perbelanjaan harian dan bersyukur dapat merasai bantuan daripada kerajaan itu.
Sementara itu, pekerja swasta, Lukhman Naim Ahmad Juffri, 22, yang merupakan penerima STR kategori golongan bujang pula menyifatkan bantuan berkenaan akan disimpan dan hanya digunakan jika keadaan mendesak.
“Bagi saya yang baru memulakan alam pekerjaan ini, wang yang diterima akan digunakan jika melibatkan keperluan kerja atau kecemasan.
“Bagaimanapun, peningkatan jumlah bantuan STR kepada golongan sasaran membuktikan kerajaan memahami beban yang ditanggung oleh kami dalam meneruskan kehidupan seharian,” katanya.
— BERNAMA