PUTRAJAYA – Sarjana dan pemikir sastera negara, Dr Abd Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-16 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di kementeriannya hari ini.
Walaupun Allahyarham telah tiada, karya serta pemikiran yang ditinggalkan akan terus hidup, menjadi khazanah ilmu dan budaya bangsa yang memberi manfaat kepada masyarakat serta generasi akan datang.
Menurut Fadhlina, pemilihan itu dibuat berdasarkan ketokohan Allahyarham sebagai sasterawan yang prolifik dan konsisten menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi sepanjang kerjayanya.
“Sumbangan beliau merangkumi pelbagai genre, termasuk cerpen, novel dan drama yang sarat dengan pemikiran kritis, nilai kemanusiaan serta kepekaan terhadap realiti sosial.
“Karya-karya beliau sering menampilkan pendekatan yang berani dan inovatif, sekali gus memperkayakan bentuk serta estetika penceritaan dalam kesusasteraan Melayu moden.
“Perjalanan beliau sebagai penulis sehingga diangkat menjadi Sasterawan Negara bermula apabila cerpen “Kawan yang Berbudi dan Berduri” tersiar dalam akhbar Berita Harian pada tahun 1964 yang seterusnya telah memenangi hadiah RM100 dalam siri cerpen pilihan terbaik akhbar tersebut,” katanya ketika sidang media Anugerah Sasterawan Negara ke-16 di sini, hari ini.
Tambah Fadhlina, rentetan kemenangan beliau itu, Sekolah Menengah Izzuddin Shah di Ipoh pada waktu itu telah mengumumkan cuti sehari kepada para pelajarnya, kerana cerpen itu dihasilkan oleh salah seorang pelajarnya yang berusia 18 tahun, justeru kejayaan yang membanggakan itu harus diraikan oleh seluruh warga sekolahnya.
“Kesinambungan penulisan beliau dalam bidang cerpen telah menghasilkan ratusan karya yang memperlihatkan eksperimen naratif serta kekuatan pemikiran falsafah, antaranya dihimpunkan dalam kumpulan cerpen seperti Cinta Junjungan.
“Dalam bidang drama, beliau banyak menulis skrip drama pentas, skrip drama radio dan drama TV.
“Antara drama pentasnya “Tanah di Hujung Bendang” karya beraliran realisme, drama “Di Hujung Taming Sari” berbentuk drama metasejarah yang dipeloporinya, drama “Pengadilan” ialah drama komedi berdasarkan idea yang absurd.
“Selain itu, beliau juga merupakan tokoh penting dalam bidang esei dan kritikan sastera.
“Sumbangan beliau dalam penghasilan buku ilmiah serta ratusan esei dan kritikan telah membantu membentuk wacana kesusasteraan Melayu yang lebih matang dan berteraskan pemikiran,” jelasnya.
Katanya, keputusan panel berhubung pemilihan penerima Anugerah Sastera Negara ke-16 telah dibuat pada 14 April 2025.
Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 26 Mei 2025, iaitu selepas keputusan penilaian dimuktamadkan.
“Sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-16, kerajaan akan memberikan penghargaan dan penghormatan negara kepada waris Allahyarham berupa Warkah Penghormatan Negara, wang tunai sebanyak RM60,000.
“Ia termasuk penerbitan karya sehingga 50,000 naskhah atau nilai maksimum RM500,000 untuk diedarkan kepada sekolah, perpustakaan serta jabatan dan agensi kerajaan, bagi memastikan karya tokoh terus dibaca, dihargai dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara meluas.
“Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-16 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan oleh pihak Istana Negara,” katanya.
Untuk rekod, Dr Abd Rahman Napiah, 80, atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana meninggal dunia pada jam 10.30 pagi pada 26 Mei 2025 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM akibat komplikasi jantung. – MalaysiaGazette


