IPOH – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Kangsar, sedang mengesan bapa kandung atau waris kepada pesakit Diabetes Mellitus, Khairul Azam Mohd Ghazali berusia 44 tahun.
JKM dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, lelaki yang beralamat di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar itu sedang menjalani rawatan di Wad Penyayang Hospital Kuala Kangsar.
“Pesakit masuk ke wad di Hospital Taiping pada 20 Januari lalu dan kemudiannya dipindahkan ke wad di Hospital Kuala Kangsar seminggu selepas itu,” katanya .
Menurut JKM, Khairul Azam merupakan anak tunggal yang kematian ibunya namun difahamkan bapa kandungnya dikatakan mempunyai keluarga lain.
“Mengikut makluman pesakit bapa kandungnya berusia lingkungan 70 tahun namun tidak pasti keberadaan warisnya itu kerana sudah lama tidak berhubung.
“Ingatan Khairul Azam juga kurang baik jadi kami sukar mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai bapanya yang Bernama Mohd Ghazali Said,” katanya.
Justeru itu, JKM Kuala Kangsar memohon bantuan orang ramai yang mengenali bapa kandung atau waris Khairul Azam boleh menghubungi talian 05-7761198. -MG Perak