IPOH – Kira-kira 17,000 rakyat berbilang kaum memeriahkan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Perak yang diadakan di Stadium Indera Mulia, di sini pada Sabtu.
Orang ramai dari dalam dan luar negeri Perak hadir ke majlis anjuran Kerajaan Negeri Perak itu yang bermula sejak jam 10.30 pagi.
Pelbagai juadah makanan Melayu, Cina dan India turut disediakan untuk orang ramai menikmatinya ketika menghadiri majlis berkenaan.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Selain itu, majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; barisan Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.
Sementara itu, orang ramai meluahkan rasa teruja dan gembira kerana berpeluang untuk meraikan sambutan perayaan tersebut melibatkan pelbagai kaum.
Surirumah, Shamsina Tawan, 53, dari Bangi, Selangor berkata, dia ke Perak untuk berjumpa dengan suaminya bekerja di Ipoh.
Dia bersama keluarga tidak melepaskan peluang untuk datang ke majlis tersebut bagi meikmati makanan dan minuman yang disediakan di situ.
“(Majlis ini) Memang bagus. Saya tengok ramai yang datang hari ini berbilang bangsa, makanan pun sedap. Banyak persembahan disediakan. Baguslah kalau kerajaan mengekalkan tradisi perayaan macam ini pada setiap tahun,“ katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang lagi pengunjung, C Bommyyammal, 42, Johor Bahru, Johor, berkata, dia datang ke Ipoh untuk menghabiskan cuti sekolah yang sudah sampai di penghujung.
“Abang ipar yang ajak ke sini dan saya rasa program ini bagus kerana semua bangsa dapat berkumpul di satu tempat. Makanan pun sedap dan saya rasa gembira.
“Setakat ini saya sudah makan kuetiau soto kerana ia makanan kegemaran dan saya rasa sedap. Selain itu, ada pelbagai jenis makanan lagi yang sedap antaranya sate, pau, dim sum, semua sedap air pun sedap.
“Program seperti ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kepada semua kaum berkumpul makan sekali, semua bangsa, satu negara,“ ujar pengusaha katering itu.
Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung, pula berkata, suasana pada tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu.
“Saya rasa program begini patut dianjurkan setiap tahun sebab ia melibatkan pihak pentadbiran negeri, institusi diraja dan juga rakyat jelata untuk sama-sama berkumpul dan beramah mesra.
“Kita lihat hari ini kita lihat ramai pengunjung datang daripada berbilang bangsa, jadi inilah peluang terbaik untuk kita saling berinteraksi mengucapkan kongsi raya di samping menikmati juadah yang dihidangkan.
“Itu adalah sesuatu keadaan yang amat baik di mana kita dapat memupuk perpaduan dan berpeluang untuk mengenali antara satu sama lain,“ katanya.
Seorang lagi pengunjung, Loh Wai Seong, 50, dari Menglembu, Ipoh menyifatkan majlis ini berjaya mengumpulkan semua kaum di satu lokasi bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama-sama.
“Makanan di sini sedap, saya banyak jumpa kaum lain, Melayu, Cina, India, Benggali, Orang Asli. Kerajaan Madani pun bagus, kerajaan negeri dan Menteri Besar pun baik,“ luahnya ringkas. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri