IPOH – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyambut baik keputusan Jemaah Menteri tidak meneruskan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Perayaan dan Kunjungan Ke Rumah Ibadat Selain Islam di Malaysia.
Ketuanya, Woo Kah Leong berkata, keputusan itu adalah langkah bijaksana bagi mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menurutnya, DAPSY turut menjunjung tinggi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan itu khususnya di Selangor.
“Titah baginda adalah contoh kebijaksanaan institusi diraja dalam menjaga keharmonian agama dan hubungan antara kaum di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Kah Leong turut menasihatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang juga sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan supaya berhenti daripada meneruskan polemik tersebut.
“Isu ini telah pun diputuskan dalam mesyuarat kabinet yang turut melibatkan semua Menteri UMNO.
“Sebagai seorang ahli kerajaan dan ahli UMNO, beliau seharusnya akur kepada keputusan tersebut dan menghormati konsensus yang telah dicapai.
“Cukup-cukuplah berlagak sebagai ‘hero’ yang seolah-olah anti Kerajaan Perpaduan atau anti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Negara tidak memerlukan ‘hero’ yang cuba merosakkan perpaduan nasional atau menolak segala cadangan baik daripada kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar turut meminta Muhammad Akmal supaya berpolitik dengan lebih matang, berhemah dan profesional dan bukan menjadikan setiap isu sebagai isu perkauman dan keagamaan.
“Tidak ada keperluan untuk bersaing dengan Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas, dalam menjadi ‘hero’ agama yang konservatif.
“DAPSY ingin menegaskan bahawa isu garis panduan ini bukan soal campur tangan golongan bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam. Ini adalah persepsi dan tanggapan yang tidak betul.
“Ini kerana garis panduan tersebut berpotensi menyulitkan dan menyusahkan pihak penganjur bukan Islam yang ingin menjemput rakan-rakan Muslim untuk sama-sama menyertai majlis perayaan dengan niat yang baik dan hati yang terbuka.
“Dengan wujudnya karenah birokrasi yang rumit, setentunya ini akan menjadikan pihak penganjur untuk tidak mengundang masyarakat Muslim dan sekali gus menjejaskan interaksi antara kaum pada masa depan.
“Ini tidak akan bermanfaat kepada perkembangan masyarakat berbilang kaum di negara kita,” ujarnya.
Justeru, beliau berkata, jalan terbaik adalah untuk memastikan terus mara ke depan tanpa terbeban dengan pertikaian dan perselisihan faham yang tidak bermakna adalah dengan mengekalkan status quo.
“Mana-mana ahli politik yang terus memperbesarkan isu ini sebenarnya hanya mempunyai satu niat, iaitu untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jangan cetus spekulasi dalam isu garis panduan orang Islam di majlis bukan muslim