IPOH – Seramai 30 pemain pelancongan di negeri ini terlibat dalam sesi padanan perniagaan bersama 55 ejen dan pengusaha dari China dalam usaha mempromosikan Perak di peringkat antarabangsa.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, sesi berkenaan dianjurkan Tourism Perak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sempena Trip Mega Fam Promosi Merentas Tiga Negeri 2025 antara China dan Malaysia.
Menurut Sze Yee, inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada Misi Jualan China Ogos 2024 yang berfungsi sebagai platform strategik mengukuhkan hubungan antara industri pelancongan Malaysia dan China sambil mempamerkan tawaran pelancongan Perak yang pelbagai.
“Kesemua 55 yang datang dari China ini bukan agensi pelancongan biasa sebaliknya mereka merupakan pemborong yang mengambil secara pukal pakej pelancongan untuk ditawarkan dan diagihkan kepada agensi mereka apabila pulang nanti.
“Melalui pertukaran ini, kedua-dua pihak meneroka perkongsian baharu dan pakej pelancongan yang disesuaikan dan direka untuk menarik lebih ramai pengunjung China ke Perak.
“Jadi kerjasama ini menggariskan usaha proaktif Tourism Perak dalam meletakkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan peringkat teratas di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Sesi Padanan Perniagaan Sempena Program Familiarization Trip Negara China Ke Negeri Perak di Miker Signature, di sini, pada Selasa.
Tambah Sze Yee, sebagai sebahagian daripada Trip Mega Fam Promosi Merentas Tiga Negeri 2025, delegasi China dibawa merasai sendiri keunikan Perak di Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping dan Pulau Pangkor.
Ujar beliau, destinasi ini menyerlahkan gabungan budaya, alam semula jadi dan hospitaliti Perak yang menawarkan pengalaman menarik kepada pasaran pelancongan China yang semakin berkembang.
Sze Yee berkata, Usaha yang dilakukan MOTAC bersama Perak, Negeri Sembilan dan Selangor ini juga memberi peluang kepada tiga negeri tersebut untuk mewujudkan pelancongan berangkai di mana pelancong tidak tertumpu di satu negeri sahaja.
“Sebagai contoh jika mereka turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mereka boleh melancong ke Negeri Sembilan dahulu, kemudian ke Selangor dan selepas itu ke Perak dan pulang menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya. -MG Perak