JKDM rampas rokok, arak, mercun bernilai lebih RM3 juta

IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas rokok putih dan kretek, minuman keras, mercun dan bunga api serta dadah disyaki ganja bernilai RM771,376.70 dan melibatkan cukai berjumlah RM3,792,123.74 pada Januari lalu.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, rampasan itu dilakukan di Selangor dan Perak oleh anggota daripada Cawangan Penguatkuasaan JKDM, Stesen Pengkalan Hulu; Bahagian Penguatkuasaan JKDM Ipoh serta Cawangan Penguatkuasaan JKDM, Stesen Taiping.

Menurutnya, pada 13 Januari lalu, dua serbuan telah dijalankan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor sekitar jam 5.45 dan 6.15 petang.

“Dalam serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan ke atas dua buah kontena di pelabuhan tersebut, kita menemui sejumlah 52,800 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM264,000 dengan cukai berjumlah RM1,943,040.

“Pada serbuan kedua yang dilakukan di sebuah gudang di lokasi sama, sejumlah 25,200 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM126,000 dengan anggaran cukai sebanyak RM852,169.50 telah dirampas.

“Siasatan awal bagi kedua-dua kes itu mendapati, minuman keras pelbagai jenama itu telah diimport melebihi kuantiti yang dibenarkan di bawah suatu lesen yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam di bawah Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada 21 Januari lalu, dua serbuan rokok putih dan kretek telah dilakukan di sekitar Taiping.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 852,500 batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM93,775 dengan anggaran duti RM554,977.50 dirampas dalam sebuah lori yang diletakkan di tapak perkuburan di Kamunting.

“Dua lelaki yang berada di dalam lori turut ditahan pada serbuan tersebut kerana telah meletakkan lori berisi barang larangan di kawasan sunyi yang tidak mencurigakan pihak berkuasa.

“Manakala, sejumlah 467,100 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM57,695 dengan cukai berjumlah RM304,713.50 dirampas dalam serbuan di sebuah premis tidak berpenghuni di Taiping.

“Modus operandi yang dilakukan adalah menyimpan barang larangan di dalam premis kosong untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Sehubungan itu, bagi kedua-dua kes tersebut, rokok yang disita didapati tidak mempunyai pelekat setem cukai dan tidak mengikut syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar memaklumkan, pada 23 Januari lalu jam 10 pagi, satu serbuan dilakukan di  sebuah premis di Trong, dekat sini.

“Hasil pemeriksaan, telah menemui 420 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM211,630 dengan anggaran duti terlibat berjumlah RM137,223.24.

“Mercun dan bunga api yang disita tersebut tidak mematuhi spesifikasi dan garis panduan yang ditetapkan dalam permit import yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari menyimpan barang-barang berduti,“ katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 1.057 kilogram ketulan mampat dalam satu bungkusan plastik lutsinar disyaki ganja bernilai RM3,276.70 telah ditemui di bawah tempat duduk belakang sebuah kereta di Pengkalan Hulu, Gerik.

Katanya, nilai rampasan dadah termasuk kereta berkenaan berjumlah RM15,000 dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

JKDM serbu gudang tayar simpan motosikal, arak RM1.35 juta 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI