Warga emas paling ramai dapatkan rawatan fisioterapi di Tanah Suci

MAKKAH – Masalah sakit otot akibat berjalan jauh dan keletihan menjadi aduan paling banyak diterima Unit Fisioterapi Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kalangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Jurupulih Perubatan Fisioterapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Azlinda Abdul Hamid berkata, kebanyakan jemaah yang mendapatkan rawatan mengalami ketegangan otot selepas melakukan ibadah umrah yang melibatkan tawaf dan saie.

Menurutnya, jemaah yang mengalami kesakitan biasanya akan dirujuk terlebih dahulu oleh doktor di klinik sebelum menerima rawatan fisioterapi.

“Setakat ini, kebanyakan jemaah mengalami masalah otot akibat perjalanan jauh dan penggunaan otot secara berlebihan. Ada yang datang dalam keadaan berjalan membongkok kerana cuba menahan sakit terutama selepas tawaf dan saie,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, unit fisioterapi menerima kira-kira 20 pesakit sehari namun jumlah itu dijangka meningkat menjelang kemuncak ibadah haji.

Katanya, kebanyakan pesakit terdiri daripada warga emas dengan jumlah lelaki dan wanita yang mendapatkan rawatan adalah seimbang.

Menurut beliau, rawatan fisioterapi bukan sekadar urutan semata-mata, sebaliknya lebih menekankan senaman regangan dan pemulihan otot.

“Di sini kita lebih menekankan senaman kerana apabila otot menjadi fleksibel, kesakitan dapat dikurangkan. Kalau senaman tidak membantu, barulah kita gunakan peralatan lain seperti terapi haba, terapi sejuk, ultrasound dan rawatan elektrik untuk mengurangkan sakit,” katanya di sini.

Tambahnya, setakat ini, kira-kira 80 peratus jemaah yang mengikuti senaman dan regangan yang diajar menunjukkan pemulihan yang baik tanpa perlu mendapatkan rawatan susulan.

“Selebihnya mungkin perlu datang semula untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan jemaah supaya tidak memaksa diri melakukan ibadah secara berlebihan terutama jika mengalami kesakitan serius.

“Kita selalu nasihatkan jemaah buat ibadah mengikut kemampuan dan limitasi badan masing-masing.

“Kalau tahap sakit terlalu tinggi, kita sarankan guna kerusi roda supaya mereka masih boleh menyempurnakan ibadah dengan selamat,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan, ramai jemaah beranggapan sakit otot hanya perlu dirawat dengan ubat tahan sakit sedangkan fisioterapi dan senaman juga penting untuk membantu pemulihan.

“Makan ubat hanya membantu meredakan sakit sementara, tetapi senaman membantu melonggarkan otot dan mengurangkan kesakitan dalam jangka panjang,” ujarnya.

Menurutnya lagi, faktor perjalanan jauh dari Malaysia ke Arab Saudi, tempoh duduk yang lama dalam kapal terbang dan bas serta kurang rehat turut menjadi punca utama masalah otot dalam kalangan jemaah.

“Badan daripada keadaan rehat terus bekerja dan berjalan jauh, sebab itu mudah berlaku kekejangan dan sakit otot,” katanya.

Mengulas persediaan menghadapi operasi Masyair nanti, beliau berkata, pasukan fisioterapi TH akan turut berada di lokasi dengan peralatan asas bagi membantu jemaah yang mengalami kesakitan.

Katanya, jemaah juga telah diajar melakukan senaman mudah di bilik penginapan dan digalakkan melakukannya sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

“Senaman regangan sangat penting terutama untuk mengurangkan risiko kekejangan otot dan sakit sendi ketika kemuncak haji nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI