Dividen tinggi KWSP bukti ekonomi negara kukuh, berdaya tahan

PENGUMUMAN kadar dividen 6.30 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sabtu lalu, memberikan kelegaan besar kepada kira-kira 16 juta pencarumnya.

Kadar dividen yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun bagi kedua-dua simpanan itu diumumkan ketika KWSP sedang dilanda persoalan khususnya berkait dengan pelaburan dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Namun, pengumuman dividen 6.30 peratus untuk kedua-dua simpanan bagi 2024 secara tidak langsung menyangkal segala tohmahan terhadap KWSP dan menutup mulut para pengkritiknya.

Lebih utama, pengumuman dividen yang tinggi oleh KWSP itu turut mencerminkan pengukuhan kekuatan ekonomi dan daya tahan dalam pasaran negara.

Situasi ini secara tidak langsung dapat menarik dan meningkatkan keyakinan pelabur domestik dan asing untuk menyertai pelbagai cabang pelaburan dalam negara yang semakin menunjukkan peningkatan positif.

Secara jangka masa panjang, pengukuhan pelaburan KWSP yang ditunjukkan menerusi kemampuan memberikan dividen yang tinggi dapat membantu pengukuhan ekonomi negara dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global.

Seperti yang dijelaskan Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, lebih 60 peratus aset KWSP dilaburkan dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kelas aset seperti ekuiti, bon, pasaran wang, infrastruktur dan hartanah.

Situasi itu selari dengan dengan pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negara yang melonjak sebanyak 5.1 peratus pada tahun lalu berbanding 3.6 peratus pada tahun 2023.

Malah, jika diperhatikan, dividen KWSP saban tahun juga melebihi purata jangka panjang kadar inflasi negara iaitu 2.5 peratus setahun.

“Ini bererti simpanan para ahli KWSP sentiasa terlindung daripada `hakisan’ inflasi yang boleh mengurangkan kuasa beli.

“Malah simpanan tersebut juga berkembang pesat dan akan menyumbang kepada peningkatan simpanan persaraan ahli-ahli KWSP,” kata Mohd. Afzanizam kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dari sudut lain, pengumuman dividen yang tinggi bagi 2024 turut memperlihatkan pengurusan KWSP tidak semberono dan cukup berhati-hati dalam setiap keputusan pelaburan yang dibuat.

Meletakkan keselamatan jangka panjang simpanan pencarum sebagai keutamaan, KWSP sentiasa berhemah dalam pendekatan pelaburan mereka.

Ini bagi memastikan tahap risiko pelaburan dinilai dengan bijak dan bersesuaian dengan portfolio pelaburan dan objektif pengumpulan dana bagi tujuan persaraan.

Ia meletakkan KWSP sebagai salah satu platform pelaburan yang cukup diyakini dan boleh menarik lebih ramai golongan pekerja untuk membuat caruman secara sukarela sekali gus menjamin kehidupan persaraan mereka.

Perkembangan ini dapat dilihat melalui pertumbuhan memberangsangkan dalam jumlah pencarum sukarela kepada hampir 1.2 juta, naik 32% berbanding tahun 2023.

Program i-Saraan mencatatkan peningkatan penyertaan sebanyak 38% kepada 529,667, daripada 383,082 pada tahun 2023, sekaligus membolehkan lebih ramai pekerja sektor tidak formal menyimpan untuk persaraan. Jumlah caruman i-Saraan juga meningkat dengan ketara sebanyak 83% daripada RM1.44 bilion pada tahun 2023 kepada RM2.64 bilion pada tahun 2024.

Hakikatnya, kadar dividen KWSP tidak bersifat malar atau statik sebaliknya bergantung kepada prestasi ekonomi global dan turun naik pasaran kewangan.

Dalam hal ini, seperti dinyatakan Mohd. Afzanizam, ia perlu dilihat dari sudut hukum pelaburan iaitu semaking tinggi pulangan pelaburan, maka semakin tinggi pula kadar risiko pelaburan tersebut.

Sehubungan itu, ujar beliau, ahli-ahli KWSP perlu meletakkan suatu pengharapan yang realistik selain disaran cakna tentang perkembangan dan status terkini pretasi pelaburan KWSP.

“Mungkin perlu ada suatu penerangan yang jelas tentang konsep risiko pelaburan yang kurang dibincangkan berbanding aspek pulangan pelaburan yang lebih mudah difahami.

“Oleh itu, KWSP boleh menambah baik dari aspek komunikasi terutamanya berhubung perkara yang mahu disampaikan meskipun ia sukar difahami umum seperti konsep risiko pelaburan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI