IPOH – Sebanyak 11 usul telah dibahas pada Persidangan Perundingan Wanita Negeri Perak yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada 22 Februari lalu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, usul itu merangkumi pelbagai aspek seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan sosial, dan kesejahteraan wanita.
“Setiap usul yang telah dirumuskan bukan sekadar cetusan idea, tetapi merupakan suara kolektif yang akan diangkat untuk dibentangkan kepada Kerajaan Perak.
“Ini adalah satu komitmen untuk memastikan setiap isu yang dibincangkan mendapat perhatian sewajarnya dan diterjemahkan kepada dasar serta tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak Tahun 2025, di Laman Seri Ridzuan, dekat sini, pada Sabtu.
Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu turut dihadiri isteri, yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), Datin Seri Aezer Zubin.
Turut hadir sama,Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jenny Choy Tsi Jen serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Halizah Sipun.
Tambah Salbiah, persidangan itu telah membuktikan bahawa wanita bukan sahaja menjadi penggerak dalam keluarga dan masyarakat, tetapi juga perancang dalam menentukan hala tuju dasar, kesejahteraan, serta inisiatif yang lebih inklusif.
Pada masa sama beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memaksimumkan potensi serta memperkasa peranan wanita dalam pelbagai aspek khususnya dalam kepimpinan dan pembangunan diri.
Ujar Salbiah, ia bagi memastikan wanita di negeri ini mampu berdikari, mengurangkan kebergantungan kepada orang lain bagi kelangsungan hidup, serta memahami hak-hak mereka.
Justeru kata beliau, Program Jerayawara Jenayah Seksual dan Keganasan Rumahtangga serta pengurusan emosi wanita akan diadakan sebagai langkah proaktif dalam mencapai kesaksamaan gender serta menangani keganasan terhadap wanita.
“Program ini akan memperkukuh advokasi berkenaan isu keselamatan wanita dengan menekankan langkah-langkah pencegahan.
“Ia juga termasuk usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, serta memberi penerangan mengenai saluran bantuan yang tersedia bagi mangsa keganasan.
“Inisiatif ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan wanita hidup dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada sebarang bentuk ancaman,” ujar beliau.
Ketika sesi sidang media, Saarani memberitahu, kesemua usul yang dibincangkan pada Persidangan Perundingan Wanita Negeri akan diteliti Exco-Exco berkaitan, dan jika perlu, ia akan dibawa ke Mesyuarat Exco untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan: