LUMUT – Penganjuran Program COOP Champion oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri membantu meningkatkan peluang perniagaan gerakan koperasi.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga Kebajikan Masyarakat. Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program yang telah dan akan dilaksanakan mengikut zon itu memberi pendedahan kepada koperasi di negeri ini.
Menurut beliau, pendedahan yang diberikan adalah melalui program berbentuk ‘mentor mentee’ di mana koperasi yang diangkat sebagai COOP Champion akan dijadikan sebagai ikon untuk dicontohi koperasi lain.
“Sebab itu kita namakan program ini COOP Champion sebab mana-mana koperasi yang hebat ini kita angkat mereka menjadi ikon kepada koperasi yang lain dan dijadikan contoh.
“Ia bertujuan supaya tatakelola, pelaksanaan pengurusan koperasi dan pelan perniagaan yang dilakukan koperasi mampu menjana pendapatan dan sekali gus memberikan impak kepada komuniti bukan sahaja kepada ahli-ahli koperasi.
“Jadi inilah matlamat kita dan kita mahu mengupayakan koperasi-koperasi yang ada di perak ini,” katanya selepas hadir pada Program Coop Champion Wilayah Manjung Tahun 2025 di Tapak Bazar Raya Koperasi Persalam Manjung Berhad, di sini, pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Amran Abd Kadir dan Pengarah SKM Cawangan Perak, Zuhaini Romli.
Sementara itu, SKM Perak dalam kenyataan media berkata, COOP Champion merupakan platform perbincangan meningkatkan peluang perniagaan kepada gerakan koperasi melalui aktiviti keusahawanan serta komunikasi dua hala antara Kerajaan Negeri dengan koperasi-koperasi di negeri ini.
Katanya, program ini juga berperanan sebagai pembuka ruang kerjasama dalam aspek pembangunan produk dan barangan, pengurusan sumber serta penglibatan komuniti tempatan dalam aktiviti perniagaan.
“Program ini juga berfungsi sebagai platfrom bagı meneroka potensi besar dalam bidang pengurusan pasar malam, penganjur acara dan mikro kredit.
“Bidang keusahawanan ini adalah sektor ekonomi yang boleh memberi manfaat kepada gerakan koperasi serta penduduk setempat,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak salur insentif 11 koperasi tersenarai 100 Koperasi Terbaik Malaysia