MSN Perak majlis sukan pertama dilengkapi kolam hidroterapi bernilai RM1.92 juta

IPOH – Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak menjadi majlis sukan pertama di negara ini yang dilengkapi dengan fasiliti kolam hidroterapi bernilai RM1.92 juta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, fasiliti tersebut adalah satu pelaburan strategik untuk memperkukuh sistem pemulihan dan rehabilitasi atlet secara saintifik dan klinikal.

Menurutnya, selain MSN, pelaksanaan projek tersebut turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.

“Kolam hidroterapi itu bukan setakat berfungsi sebagai tempat pemulihan kecederaan malah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pemulihan tisu otot, mengurangkan tekanan pada sendi dan menyokong proses rehabilitasi secara menyeluruh.

“Ia juga membantu meningkatkan kekuatan fizikal dan mental atlet Perak menjelang kejohanan besar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kolam Hidroterapi Atlet MSN Perak di Seladang Sports Hub, MSN Perak, di sini pada Rabu.

MSN Perak majlis sukan pertama dilengkapi kolam hidroterapi bernilai RM1.92 juta
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Perasmian Kolam Hidroterapi Atlet Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak di Seladang Sports Hub, MSN Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 09 APRIL 2025.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah MSN Perak, Mazlan Mohamad.

Saarani berkata, dalam usaha berterusan memperkasakan pembangunan sukan, kerajaan negeri turut menyalurkan Geran Bantuan berjumlah RM125,000.

Katanya, sebanyak RM90,000 akan disalurkan 45 Persatuan Sukan Negeri (PSK), manakala Persatuan Sukan Rekreasi Orang Kelainan Upaya (PESRON) menerima RM35,000.

“Diharap peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan secara berkesan berdasarkan perancangan yang rapi ke arah memperkukuh struktur organisasi, membangunkan bakat, serta melonjak prestasi atlet,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, MSN Perak turut melaksanakan penjenamaan semula dengan memperkenalkan logo baharu majlis sukan berkenaan.

MSN Perak majlis sukan pertama dilengkapi kolam hidroterapi bernilai RM1.92 juta
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Perasmian Kolam Hidroterapi Atlet Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak di Seladang Sports Hub, MSN Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 09 APRIL 2025.

“Penjenamaan semula ini dengan identiti korporat yang lebih segar melambangkan iltizam MSN Perak untuk terus kekal relevan sebagai agensi utama yang memacu pembangunan sukan berprestasi tinggi di negeri ini.

“Inilah era baharu sukan – era teknologi, data dan inovasi. Mereka yang bersedia dan berani berubah akan mendahului. Mereka yang kekal dalam zon selesa, akan ketinggalan.

“Pengintegrasian teknologi dan media telah menjadikan sektor sukan lebih dinamik, kompetitif dan inklusif. Ia membuka ruang kepada inovasi serta menjana peluang ekonomi baharu dalam landskap sukan moden,” jelasnya.

Menyentuh mengenai Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, Saarani meminta MSN Perak supaya menggandakan persiapan bagi mencapai kejayaan lebih baik.

“SUKMA Sarawak 2024 telah membuktikan bahawa dengan strategi yang tepat, kita mampu melakar keputusan membanggakan.

“Kontinjen Perak berjaya menepati sasaran dan membawa pulang kilauan pingat emas.

“Kejayaan ini tidak harus terhenti sebagai kenangan manis semata-mata. Ia mesti menjadi pemangkin kepada lonjakan prestasi seterusnya.

“Latihan intensif, penjagaan pemakanan, kekuatan mental dan pengurusan stres mesti digerakkan secara holistik serta atlet tidak boleh dipersiapkan separuh jalan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PAFA, kerajaan negeri bincang bangunkan sukan bola sepak OKU

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI