TAPAH – Barisan Nasional (BN) kini berada di peringkat akhir dalam proses memuktamadkan manifesto dalam membantu kemenangan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir dijangka akan membentangkan manifesto berkenaan pada minggu hadapan.
Menurut beliau, manifesto itu bukan sahaja dirangka berdasarkan keperluan umum, malah turut menzahirkan aspirasi Ustaz Yusri terhadap pembangunan DUN Ayer Kuning.
“Manifesto yang akan dibentangkan nanti merupakan cerminan kepada hasrat dan aspirasi Ustaz Yusri dalam mencorakkan masa depan DUN Ayer Kuning sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
“Ia pastinya menyentuh aspek keperluan masyarakat, kebajikan manusiawi, pembangunan kawasan dan pelbagai isu setempat yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa program Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani di Kompleks Sukan Tapah, Tapah Road, di sini pada Sabtu.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak memaklumkan, satu mesyuarat akan diadakan pada Sabtu bagi menentukan tarikh, lokasi dan masa pengumuman rasmi manifesto BN bagi PRK DUN Ayer Kuning.
Mengulas perkembangan kempen yang telah berlangsung selama seminggu, beliau berkata, penerimaan masyarakat terhadap calon BN amat memberangsangkan.
“Walaupun kita yakin dengan peluang BN untuk menang, jentera parti tidak boleh mengambil mudah perkara ini. Kemenangan hanya bergantung kepada jumlah undi dalam peti undi.
“Ketika ini BN dilihat mendahului dari segi momentum, namun kita tetap perlu pastikan semua pengundi, khususnya yang berada di luar kawasan, dapat pulang untuk menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian,” jelasnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, manakala pengundian awal dijadual berlangsung pada 22 April. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: BN lancar manifesto dalam masa terdekat