Masyarakat Orang Asli mampu bangun, majukan koperasi sendiri

TAPAH – Masyarakat Orang Asli di Perak mampu membangunkan serta memajukan sektor koperasi dalam menjana pendapatan dan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, perkara itu dibuktikan melalui kejayaan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad.

Menurut beliau bagi memastikan kejayaan berkenaan menjadi inspirasi kepada masyarakat Orang Asli lain, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak bersama Kerajaan Negeri Perak telah menganjurkan Program COOP Champion Wilayah Batang Padang Tahun 2025.

“Jadi pada hari ini kita memilih sektor ekopelancongan yang mana Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad dipilih sebagai koperasi untuk membuat perkongsian kepada hampir 20 koperasi lain.

Datuk Salbiah Mohamed.

“Kita ingin tonjolkan kepada koperasi masyarakat Orang Asli yang ada bahawa mereka sebenarnya mampu untuk berjaya, berdikari, bangun sendiri dan memajukan sektor koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Gazette (MG) Perak selepas hadir merasmikan Program COOP Champion Wilayah Batang Padang Tahun 2025 di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Chenderiang, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Perak, Zuhaini Romli.

Tambahnya, penganjuran Program COOP Champion di daerah Batang Padang merupakan yang ketiga selepas pertama kali diadakan di Hulu perak dan diikuti Manjung.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan & Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed hadir ke Program COOP Champion Wilayah Batang Padang Tahun 2025 di Taman Eko Pelancongan Lata Kinjang, Chenderiang. Foto SYAKIR YUSOF, 29 APRIL 2025.

“Bagi tahun ini kita merancang untuk menganjurkan sebanyak enam Program COOP Champion dan tiga sudah dilaksanakan manakala bakinya dalam perancangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Salbiah berkata, Program COOP Champion bertujuan memberi pendedahan kepada koperasi lain serta mengangkat koperasi yang dipilih untuk dijadikan mentor.

“Sebelum ini kita mengadakan program seumpama ini melalui kaedah lawatan penanda aras kepada koperasi yang berada di kedudukan 100 terbaik di mana di Perak kita ada 11 koperasi yang berada dalam senarai tersebut.

“Jadi pada tahun ini kita tukar konsep, kita memilih koperasi-koperasi yang berpotensi untuk kita kembang dan majukan mereka lalu dijadikan contoh kepada koperasi lain mengikut faktor-faktor yang ada,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

COOP Champion bantu perkasa koperasi di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI