IPOH – Sebuah lot kedai dua tingkat berwarna biru di Jalan Bijeh Timah di sini bukan sekadar menjadi tarikan pelancongan, malah menjadi simbol warisan teh herba Cina yang terus subur sejak era penjajahan dan kegemilangan perlombongan bijih timah.
Terletak di sepanjang deretan bangunan era kolonial British, premis bernombor satu itu dikenali sebagai Muzium Ho Yan Hor.
Bangunan yang berusia lebih 100 tahun itu dahulunya merupakan kediaman dan pusat pemprosesan teh herba oleh mendiang Dr Ho Kai Cheong di bawah jenama terkenal ‘Ho Yan Hor.’
Menurut Eksekutif Muzium, Nur Maira Madihah Mohd Hamidi, muzium tersebut diasaskan oleh keluarga Kai Cheong pada Januari 2016 sebagai penghormatan terhadap sumbangan beliau dalam bidang perubatan tradisional.
Kata beliau, muzium yang dicat dengan warna asal itu menempatkan pelbagai bahan pameran berkenaan perjalanan hidup Kai Cheong, termasuk replika dapur arang dalam menghasilkan teh herba Cina.
“Muzium ini dicat semula dengan warna asal dan menempatkan pelbagai bahan pameran berkaitan perjalanan hidup mendiang, termasuk replika dapur arang yang digunakan dalam penyediaan teh herba Cina,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.
Tambah beliau, muzium itu dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 4 petang, tanpa dikenakan sebarang bayaran masuk.
Namun beliau berkata, hanya jumlah pengunjung tertentu dibenarkan masuk pada satu-satu masa bagi menjamin keselesaan.
“Kami amat menggalakkan tempahan awal, terutamanya bagi lawatan berkumpulan. Pengunjung akan diberi taklimat ringkas sebelum dibawa melawat ke semua ruang pameran yang disediakan,” jelasnya.
Nur Maira Madihah berkata, selain lawatan, setiap pengunjung juga berpeluang merasai sendiri teh herba Ho Yan Hor yang dihasilkan daripada pelbagai ramuan asli.
Kegigihan Dr Ho Kai Cheong
Menceritakan lanjut tentang Kai Cheong, Nur Maira Madihah berkata, mendiang mengharungi perjalanan panjang dalam dunia perubatan tradisional Cina sehingga jenama Ho Yan Hor kini dikembangkan oleh warisnya sebagai syarikat farmaseutikal Hovid Berhad (Hovid).
“Kai Cheong dilahirkan di Kati, Kuala Kangsar pada Julai 1910 oleh kedua ibu bapanya yang berhijrah ke Tanah Melayu dari Canton, China.
“Beliau menetap di China selama enam tahun dan pulang ke Tanah Melayu pada tahun 1924. Pada awal penglibatan dalam dunia perubatan tradisional, Kai Cheong pernah membuka kedai ubat Cina di Kuala Kangsar dan menjadi tabib di Malim Nawar,” katanya.
Nur Maira Madihah berkata, Kai Cheong kemudian menyewa di sebuah lot kedai di Ipoh dan mula menghasilkan teh herba Cina dengan nama Ho Yan Hor yang dikatakan mampu memberi kelegaan dan penyembuhan secara semula jadi.
Kata beliau, tidak hanya di situ, Kai Cheong juga turut berusaha keras mengembangkan perniagaannya dengan hanya berbasikal dan memasarkan produknya hampir ke seluruh Pantai Barat Semenjung, pada sekitar tahun 1947.
Tambah Nur Maira Madihah, perniagaan berkembang, mendiang mula membuka sebuah kilang penghasilan teh herba di Jalan Kuala Kangsar kira-kira tujuh tahun selepas itu.
Ujar beliau, kini legasi Kai Cheong diteruskan anak sulungnya, David Ho Sue San yang berlatar pendidikan farmasi menerusi syarikat Hovid, dan pengurusan Muzium Ho Yan Hor adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
“Muzium Ho Yan Hor menjadi antara penyokong kepada perkembangan pelancongan di Perak apabila kami telah menerima sekitar 350,000 kunjungan daripada pelawat dari dalam dan luar negara.
“Antara pelancong asing yang pernah melawat muzium ini adalah dari Kanada, Hong Kong, Taiwan, Singapura, Senegal dan Switzerland,” katanya.
Tambah beliau, pengurusan Muzium Ho Yan Hor merancang untuk menambah lagi ruang pameran sebagai daya tarikan pelancong pada masa hadapan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: