IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyatakan komitmen untuk membantu menyegerakan urusan pemilikan sebahagian tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Bagan Serai yang dimiliki individu bukan Islam.
Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, pihaknya bersedia memberi bantuan sewajarnya, termasuk dari sudut perundangan, bagi memastikan tanah wakaf itu kembali berada di bawah milik masjid.
“Selepas wang yang diperlukan masjid itu mencukupi, maka jika perlukan bantuan, kami akan bantu termasuk melalui Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Kita akan panggil pemilik tanah, siapkan perjanjian jual beli, dan bawa ke pejabat tanah untuk urusan pindah hak milik. Kita akan buat secepat mungkin kerana tidak mahu ia tertangguh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Kompleks Islam Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari.
Sebelum ini media melaporkan tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu berkeluasan 0.61 hektar telah dipindah milik kepada individu bukan Islam yang menetap di luar Perak.
Bagaimanapun, pemilik berkenaan bersetuju untuk menjual semula tanah berkenaan dan kerajaan negeri memutuskan agar wang kutipan solat Jumaat seluruh Perak disumbangkan kepada masjid bagi pembelian tanah berkenaan dengan nilai RM1.8 juta.
Menurut Mohd Annuar, sehingga kini Masjid Jamek Ar-Ridzuan Alor Pongsu telah berjaya meraih kutipan dana bagi pembelian tanah berkenaan lebih daripada RM2.1 juta setakat pada Khamis, iaitu melepasi jumlah dana yang disasarkan.
Kata beliau, ia menunjukkan solidariti dan tanggungjawab sosial umat Islam bukan sahaja di Perak, malah di luar negeri terhadap isu yang melibatkan agama.
“(Memandangkan kutipan derma sudah melebihi sasaran) saya serahkan kepada setiap kepimpinan masjid dan surau diri Jumaat di Perak dalam soal penyerahan sumbangan kepada Masjid Jamek Ar-Ridzuan melalui kutipan derma solat Jumaat esok,” katanya.
Dalam perkembangan sama Mohd Annuar berkata, MAIPk akan mengambil pendekatan proaktif dengan menjalankan audit menyeluruh terhadap status pemilikan semua masjid dan surau di Perak, khususnya yang dibina di atas tanah wakaf.
Kata beliau, ia sebagai langkah untuk mengelakkan isu yang dihadapi Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu tidak berulang di tempat lain pada masa hadapan.
“MAIPk bersama JAIPk akan memulakan langkah nasihat pentadbiran kepada semua pengurusi masjid untuk semak status hak milik tanah mereka. Kita akan buat audit penuh.
“Kita juga akan kemas kini dan semak silang semua data dengan Pejabat Tanah Dan Daerah menggunakan sistem komputer bagi memastikan tiada lagi kekeliruan tentang pemilikan atau status wakaf tanah-tanah ini,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jawatankuasa Masjid Ar-Ridzuan zahir penghargaan kepada MB Perak