MANJUNG – Seorang remaja perempuan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Benting Luas, Pantai Remis dekat sini malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 7.32 malam tadi.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan tersebut anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis digerakkan ke lokasi kejadian dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pantai Remis dan Changkat Keruing.
“Setibanya di lokasi anggota dimaklumkan mangsa berusia 15 tahun itu dipercayai terjatuh berhampiran jeti.
“Anggota kemudiannya melakukan pencarian dalam radius tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini untuk mencari mangsa yang masih hilang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: