TELUK INTAN – Pemandu lori batu yang terlibat dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memindahkan dua ekor lembu curi.
Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa telah memindahkan harta curi melibatkan seekor lembu jantan berwarna hitam baka KK Cross dan seekor lembu jantan berwarna putih baka Brahman milik seorang lelaki berusia 66 tahun daripada tempat asalnya di kebun Kampung Sungai Keli.
Lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kampung Kebun Baru, Hutan Melintang dekat Bagan Datuk pada jam 6 petang, 14 April 2025.
Rudi Zulkarnain didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Hafizudin Khan Norkhan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Jun depan. – MG Perak