KERIAN cukup terkenal dengan nama ‘Jelapang Padi Negeri Perak’ berikutan terdapat kawasan penanaman padi yang luas di situ.
Daerah yang berkeluasan 921.47 kilometer persegi (km2) itu didiami sebahagian besar Masyarakat Melayu yang berketurunan Banjar khususnya di sekitar Bagan Serai, Gunung Semanggol dan Alor Pongsu.
Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu pula menjadi salah satu bukti dan lambang kepada perkembangan Islam yang telah berakar sejak hampir satu dekad.
Hasil dengan semangat kesepaduan masyarakat Islam, masjid yang terletak di Jalan Bagan Serai itu dibina sekitar tahun 1931 dengan kos sekitar RM64,000, hasil sumbangan masyarakat setempat.
Menurut penduduk setempat, tapak asal Masjid Jamek Ar-Ridzuan itu pula merupakan sebahagian daripada kawasan ladang sawit mana ia kemudiannya diwakafkan pemilik bagi pembinaan sebuah masjid.
Ini kerana sebelum ini penduduk setempat hanya menunaikan solat secara berjemaah di sebuah surau kecil berhampiran kawasan sama.
Masjid yang dirasmikan Pegawai Tadbir Agama Daerah Bagan Serai ketika itu, Yunus Alias, pada asalnya dibina hanya untuk menampung sekitae 200 jemaah.
Namun, perkembangan penghijrahan penduduk terutama dari Kedah ke Alor Pongsu untuk meneroka penempatan baru kemudian telah membawa kepada pertambahan bilangan penduduk, dan akhirnya ruang solat semakin sesak.
Masjid Jamek Ar-Ridzuan telah mengalami beberapa siri pembesaran ruang solat termasuk pada tahun 1998 apabila ruang tambahan di sisi utama telah siap dibina dan dirasmikan Orang Kaya-Kaya Shahbandar Paduka Indera Datuk Seri Mohd Zulkifli Kushairi.
Menurut Pengerusi masjid, Yusop Majid, kini, masjid itu memiliki ruang solat utama yang boleh menampung sehingga 400 jemaah, tidak termasuk ruang tambahan muslimat di tingkat dua dan di dewan terbuka.
“Masjid ini sering menjadi tumpuan terutama pada Hari Raya yang mana bilangan jemaah boleh sampai ke luar daripada dewan solat utama iaitu di dewan terbuka.
“Selain daripada ruang solat tambahan di sisi dewan solat utama, Masjid Jamek Ar-Ridzuan terdiri daripada pusat sumber, tempat berwuduk, parkir, ruang solat musafir, tandas, dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.
Yusop berkata, Masjid Jamek Ar-Ridzuan juga mempunyai kawasan tanah perkuburan yang mana ia juga sedang dalam proses perluasan selepas kawasan kubur fasa pertama hampir penuh.
Struktur dan Sentuhan Seni Tradisi
Masjid yang pada asalnya dibina menggunakan bahan kayu mengalami beberapa siri penambahbaikan apabila ia dibina semula dengan batu bata dan kerangka logam.
Menariknya, empat tiang asal binaan masjid pada tahun 1931 masih berdiri kukuh dan ia kini disaluti jubin bagi mengekalkan struktur bangunan.
Selain kubah kecil berbentuk payung, menyamai kubah yang terdapat di Masjid Negara di Kuala Lumpur, turut dikekalkan adalah mihrab yang dibina daripada kayu dan mempunyai hiasan khat dan ukiran unik.
Difahamkan, menara lama Masjid Jamek Ar-Ridzuan terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembesaran dan pengubahsuaian bangunan tambahan yang dilaksanakan pada tahun 2013.
Salah satu lagi ciri-ciri unik masjid adalah ia dikenali sebagai ‘Masjid KLCC’ apabila terdapat dua menara berkembar di atas bangunan itu dengan ia dihubungkan dengan jejantas sepanjang kira-kira enam meter.
Jika dilihat dari jauh, bentuk menara masjid itu hampir seakan-akan mercu tanda yang terdapat di Kuala Lumpur iaitu Menara Berkembar Petronas.
Menurut Bekas Ahli Jawatankuasa, Shahrun Azman, idea pembinaan menara masjid berkembar itu merupakan idea spontan pengerusi masjid terdahulu.
“Hasil dana wakaf yang berjaya dikumpul sekitar RM180,000 ia berjaya dibina dua menara masjid.
“Kemudian dibina pula struktur jejantas di antara menara sebagai langkah untuk mengukuhkan struktur. Memandangkan ia berhampiran dengan jalan utama, kita bimbang kenderaan-kenderaan berat yang lalu akan menjejaskan dua menara itu,” katanya lagi.
Di sebalik sejarah panjang, Masjid Jamek Ar-Ridzuan terus rancak dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan susulan keberadaan perumahan iaitu Taman Sri Pongsu, Taman Pongsu Melati, Taman Pongsu Mawar dan Taman Pongsu Teratai.
Pada masa sama, pembukaan Persimpangan Bertingkat Tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Alor Pongsu sejak 2016 pula menjadikan masjid itu sebagai salah satu lokasi persinggahan musafir untuk menunaikan solat, memandangkan ia hanya sejauh 2 km.
Masjid Jamek Ar-Ridzuan bukan sekadar tempat untuk mengabdikan diri kepada Sang Pencipta, tetapi ia juga mercu tanda sejarah dan perpaduan masyarakat Islam khususnya di Alor Pongsu. – MG Perak
VIDEO:
MGPerak: Dibina Sejak 1931, Masjid Jamek Ar-Ridzuan Lambang Kesepaduan Umat Islam
MGPerak: Dibina Sejak 1931, Masjid Jamek Ar-Ridzuan Lambang Kesepaduan Umat Islam
Artikel Berkaitan: