MENJADI antara komoditi eksport utama negara, industri nanas di Malaysia terus berkembang termasuklah di Perak sendiri yang menunjukkan peningkatan ketara tanaman buah tropika berkenaan.
Berdasarkan statistik Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) pada 2023 Perak memiliki 372.6 hektar keluasan tanaman nanas melibatkan tiga daerah utama iaitu Batang Padang (66.6 hektar), Perak Tengah (61.5 hektar) dan Kerian (49.5 hektar).
Data juga menunjukkan Perak berjaya mengeluarkan 11,256 tan metrik nanas dengan nilai pengeluaran melebihi RM27 juta pada tahun sama.
Mempunyai kelebihan tanah yang subur serta iklim yang sesuai, Perak berpotensi besar untuk menyumbang secara signifikan dalam industri nanas negara.
MG Perak sebelum ini melaporkan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Zolkafly Harun berkata, industri nanas di Perak menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan keluasan tanaman mencapai sekitar 625 hektar setakat Mac tahun ini.
Beliau berkata, keluasan tanah berkenaan melibatkan seramai 493 pengusaha aktif melibatkan varieti utama yang ditanam Moris dan MD2.
Industri nanas mampu menjadi antra penyumbang kepada keterjaminan makanan di negeri ini selari dengan pelan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menggariskan beberapa agenda penting bagi keharmonian setempat.
Keterjaminan makanan merupakan antara satu daripada enam agenda utama dalam pelan pembangunan negeri itu dengan memperkasakannya melalui pengeluaran hasil makanan dalam bidang pertanian dengan skala yang besar.
Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali sendiri dalam ucapan beliau sempena Jelajah Hari Nanas Malaysia (HANA) Negeri Perak 2025 baru-baru ini berkata, negeri ini merupakan antara yang aktif dalam industri nanas negara.
Beliau berkata, Perak antara negeri yang dilihat semakin aktif dalam perluasan tanaman nanas dengan varieti utama yang diusahakan ialah Moris dan MD2.
“Dua varieti yang bukan sahaja mempunyai nilai pasaran yang tinggi, malah telah menembusi pasaran antarabangsa terutama bagi varieti MD2,” katanya.
Ini jelas menunjukkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berjuang habis-habisan dalam memastikan soal keterjaminan makanan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 diutamakan demi kesejahteraan rakyat.
Selain itu, industri nanas bukan sahaja mampu menyokong keterjaminan makanan malah turut membantu rakyat dari segi ekonomi di mana ia mampu menjana pendapatan lumayan kepada usahawan luar bandar.
LPNM menganggarkan bahawa usahawan nanas mampu memperoleh pendapatan sehingga RM8,000 sebulan secara berperingkat dengan amalan pertanian moden dan strategi pemasaran yang berkesan.
Zolkafly turut memberi jaminan kerajaan Perak akan terus memberikan sokongan padu kepada industri nanas dengan memperkukuhkan kerjasama dengan LPNM dan semua pihak berkepentingan.
Beliau berkata, ia termasuklah menyediakan pelbagai bentuk insentif dan bantuan kepada para petani serta menggalakkan inovasi dan penyelidikan dalam bidang penanaman dan pemprosesan nanas.
“Selain itu, kami turut komited untuk memperluas jaringan pemasaran yang lebih berkesan bukan sahaja di pasaran tempatan, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Antara inisiatif yang dirancang ialah penglibatan aktif dalam pelbagai platform pameran, promosi serta integrasi produk nanas dalam program pelancongan dan budaya,” katanya.
Usaha yang dilakukan kerajaan negeri dan LPNM ini bukan sahaja mampu menjadikan nanas sebagai hasil pertanian tetapi juga sebagai simbol ekonomi desa yang progresif. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: 1,544 Ekar Tanaman Nanas Di Perak Setakat Mac 2025