BETA Architects menang reka bentuk semula Pasar Besar Ipoh

IPOH – BEu Tan Architect (BETA) dinobatkan sebagai pemenang utama Pertandingan Idea Konsep Reka Bentuk Cadangan Menaik Taraf Pasar Besar Ipoh anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Firma arkitek yang berpangkalan di Pulau Pinang itu berjaya menewaskan 39 pesaing lain dengan membawa pulang RM30,000 serta sijil penyertaan dan hadiah disampaikan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

Pengasasnya, Tan Bee Eu berkata, pihaknya menampilkan konsep unik bertemakan ‘Breathe, Harness and Activate’ yang memberi penekanan kepada pengudaraan semula jadi dan suasana yang lebih selesa kepada pengunjung pasar.

“Kami mahu menjadikan pasar ini lebih ‘breathable’. Maksudnya bila masuk pasar, udara nyaman dan pengudaraan semula jadi dapat dimaksimumkan.

“Matlamat utama kami adalah menjadikan Pasar Besar Ipoh sebagai mercu tanda bandar raya yang ikonik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Khas Anggota Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Bandar Raya Ipoh Ke-37 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Bee Eu berkata, selain berfungsi sebagai pusat jual beli, pasar juga perlu memainkan peranan sebagai ruang komuniti yang mesra keluarga.

BETA Architects menang reka bentuk semula Pasar Besar Ipoh
Pengasas BETA Architects, Tan Bee Eu menunjukkan replika cek selepas memenangi tempat pertama pertandingan Idea Konsep Reka Bentuk cadangan menaik taraf Pasar Besar Ipoh pada Majlis Perhimpunan Khas Anggota Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Bandar Raya Ipoh Ke-37 di Pusat Konvensyen Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 MEI 2025.

“Sekarang ini, ramai keluarga lebih gemar ke pusat beli-belah. Tidak ramai yang ke pasar bersama anak-anak. Jadi kami mahu hidupkan semula budaya itu dan menjadikan pasar sebagai tempat untuk keluarga berkumpul,” ujarnya.

Menurutnya, BETA Architects sebelum ini pernah terlibat dalam projek pasar di Bukit Mertajam menyifatkan pertandingan ini sebagai peluang penting untuk menyumbang kepada pembangunan bandar dengan pendekatan lebih inklusif.

“Kami tahu pertandingan ini melalui promosi atas talian oleh MBI dan kami juga sedang membuat projek pasar juga di Pulau Pinang. Justeru, kami mahu gabungkan reka bentuk dengan elemen yang mesra komuniti,” jelasnya.

Katanya, pasukannya yang terdiri daripada lima orang itu menghabiskan masa hampir sebulan meneliti keadaan semasa pasar sedia ada sebagai persediaan menyertai pertandingan ini.

“Kami datang melawat pasar, buat kajian dan analisis selama tiga ke empat minggu. Terima kasih kepada MBI kerana memberi peluang kepada arkitek muda untuk mengetengahkan idea dan meningkatkan kesedaran tentang reka bentuk awam,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa ini merupakan penyertaan ketiga pihak firmanya dalam pertandingan reka bentuk pasar dan usaha kali ini berjaya membuahkan hasil.

Pertandingan yang bermula 17 Mac dan berakhira 30 April lalu itu dilihat sebagai langkah progresif ke arah merejuvenasi Pasar Besar Ipoh, seiring dengan usaha menjadikan bandar ini lebih mesra rakyat dan berdaya huni. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pasar Besar Ipoh jadi tumpuan persiapan akhir Aidilfitri

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI