TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengambil tindakan segera susulan insiden seorang anggota kastam cedera ditimpa pokok di Zoo Taiping and Night Safari (ZTNS) dengan memastikan tahap keselamatan pengunjung sentiasa terjamin.
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, kawasan kejadian telah dikawal dan ditandakan sebagai zon larangan sementara bagi tujuan siasatan serta keselamatan.
Katanya, pemantauan ke atas kehadiran beruk dan kera liar turut dipertingkatkan kerana haiwan tersebut berkemungkinan menjadi antara faktor penyumbang kepada insiden tersebut.
“Pemeriksaan menyeluruh sedang giat dijalankan ke atas semua pokok dalam kawasan ZTNS terutamanya di laluan utama dan lokasi tumpuan pelawat bagi mengenal pasti pokok-pokok yang berisiko tumbang atau tidak stabil.
“Sebagai langkah pencegahan, pokok yang dikenal pasti berisiko akan dipangkas atau ditebang serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Khairul Amir, MPT juga merancang untuk melantik kontraktor khusus bagi melaksanakan kerja-kerja pemangkasan pokok tinggi bermula Julai ini.
Kata beliau, selain itu pihaknya mempertingkatkan kekerapan penyelenggaraan pokok termasuk kerja-kerja pemangkasan dan penilaian kesihatan pokok secara berkala.
“Sejak tahun 2018 sehingga 2024, kerja-kerja pemangkasan dan penebangan telah dilaksanakan sebanyak lebih 470 batang pokok melibatkan kos melebihi RM300,000,” jelas beliau.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak pada Ahad memaklumkan seorang anggota wanita cedera selepas ditimpa pokok sewaktu beriadah di ZTNS.
Menerusi hantaran pada laman Facebook, JDKM negeri memaklumkan anggota yang berkhidmat di Cawangan Cukai Dalam Negeri di Lumut itu mengalami kecederaan patah tulang tengkuk di bahagian bahu.
Walau bagaimanapun katanya, mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Taiping. – MG Perak
Artikel Berkaitan: