TELUK INTAN – Kerajaan Perak menyasarkan sekurang-kurangnya 20 usahawan serta jenama produk baru negeri bagi meneroka dan memperluaskan pasaran ke luar negara sepanjang tahun ini.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Salbiah Mohamed berkata, justeru, kerajaan negeri mengalakkan agensi berkaitan membantu pengusaha atau syarikat berpotensi untuk dibawa ke luar negara dan menyelesaikan kekangan yang dihadapi.
Menurutnya, antara pameran atau ekspo perdagangan yang akan disertai usahawan Perak adalah Brunei Consumer Fair 2025, World Expo Osaka 2025 dan Fine Food New Zealand 2025 yang akan berlangsung pada bulan ini.
“Memang ada beberapa usahawan yang kita sudah kenal pasti dan sasaran kita untuk memastikan kita ada usahawan yang berpotensi untuk kita bawa ke luar (negara).
“Jadi, kita (kerajaan negeri) sedang cuba untuk mencapai target (sasaran) 20 usahawan yang mampu teroka pasaran baru ke luar negara melalui inisiatif yang ada daripada kerajaan negeri, melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontena Produk Syarikat Ameen Products Sdn Bhd ke negara Mali, Afrika di Taman Perindustrian Ringan di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli; Pegawai Daerah Hilir Perak, Mufidah Mahfodz; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan, Zairul Akmal Kasim dan Pengarah Urusan Ameen Products Sdn Bhd, Muhammed Irfan Amanulla Khan.
Dalam pada itu, Salbiah berkata, antara cabaran yang dihadapi usahawan adalah kekurangan fasiliti atau taman industri untuk mereka memenuhi kehendak pasaran.
“Apabila sebahagian usahawan yang kita ketengahkan apabila mereka hendak memperluaskan produk ke pasaran, mereka menghadapi kekangan dari segi ‘sizing’ untuk mengembangkan produk.
“Justeru, apabila ada usahawan yang mempunyai kawasan terhad, kita akan lihat keperluan untuk kerajaan negeri membantu mengenal pasti kawasan-kawasan yang bersesuaian.
“Bukan semua daerah (sesuai untuk pembangunan taman industri) mungkin daerah-daerah yang berpotensi antaranya seperti Hilir Perak ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan industri baru serta menyediakan infra sesuai bagi membantu usahawan terlibat bagi memastikan spesifikasi mereka untuk menghasilkan produk dapat dilakukan dengan baik. – MG Perak
Artikel Berkaitan: