Bas persiaran disewa pelajar sendiri untuk perayaan Aidiladha – Naib Canselor UPSI

IPOH – Bas persiaran yang terlibat dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat Tasik Banding pagi ini telah disewa sendiri oleh pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mereka pulang ke kampung sempena cuti perayaan Aidiladha.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, bas tersebut tidak disewa oleh pihak universiti, sebaliknya ia adalah inisiatif pelajar-pelajar yang tinggal di sekitar Terengganu.

“Ini perkara biasa dalam kalangan pelajar. Seperti zaman kita belajar dahulu, kalau ramai yang sekampung, mereka akan menyewa kenderaan bersama-sama untuk pulang ke kampung.

“Begitu juga dengan kes kali ini,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua waris telah dihubungi dan dimaklumkan mengenai kejadian, dan setiap keluarga telah diberikan seorang pegawai UPSI untuk membantu menguruskan keperluan mereka.

“Antara bantuan yang disediakan termasuklah penginapan untuk keluarga mangsa yang hadir ke hospital serta bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka.

“Kami juga meletakkan diri kami di tempat keluarga. Apa bantuan yang mereka perlukan, kami akan cuba sediakan. Kami juga ada hotline dan saluran komunikasi yang aktif,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lengkap termasuk waktu bas tersebut berlepas dari Terengganu kerana terdapat pelbagai versi yang belum dapat disahkan.

Tambahnya lagi, sebarang pengumuman rasmi mengenai maklumat pelajar dan syarikat bas yang terlibat hanya akan dibuat selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak berkuasa.

“Pegawai undang-undang UPSI juga sedang meneliti perkara ini untuk melihat langkah seterusnya yang boleh diambil,” jelasnya.

Dalam nahas awal pagi tadi, seramai 14 pelajar UPSI dan seorang kelindan bas disahkan maut dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli, berhampiran Tasik Banding, dekat Gerik.

Daripada jumlah itu, 13 orang meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi di Hospital Gerik. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI