Nahas 15 pelajar UPSI maut: Bas hilang kawalan, langgar MPV – Laporan awal polis

GERIK – Polis sedang mengenal pasti punca sebenar kemalangan maut melibatkan sebuah bas persiaran dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer (km) 15, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli–Gerik, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan menjurus kepada semua aspek termasuk kemungkinan faktor kecuaian manusia atau faktor lain, mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, proses siasatan juga akan melibatkan beberapa agensi berkaitan seperti Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kata beliau, bagaimanapun hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, kedua-dua kenderaan itu tidak bertembung sebaliknya sedang bergerak di lorong sama, menghala ke Gerik.

“Keadaan jalan di lokasi kejadian tiada pencahayaan lampu jalan, selain berselekoh dan menurun. Namun, masih terlalu awal untuk kita mengesahkan punca sebenar kejadian.

“Bas dan kenderaan MPV jenis Perodua Alza itu tidak bertembung, sebaliknya bergerak sehala menuju ke Gerik.

“Cuma berdasarkan maklumat awal, saya dimaklumkan kemungkinan bas berkenaan telah hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang Perodua Alza,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Noor Hisam mengesahkan bas persiaran yang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke UPSI di Tanjong Malim itu dinaiki 42 pelajar bersama masing-masing seorang pemandu dan kelindan.

Katanya, dalam nahas yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu, seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut, dengan 13 mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, manakala dua lagi ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat dan pengecaman waris.

Ujar beliau lagi, semua penumpang yang berasal dari Pantai Timur itu dianggarkan berusia antara 21 hingga 23 tahun, dan mereka sepatutnya tiba di UPSI awal pagi Isnin.

“Dalam kejadian ini, seramai 27 orang cedera, terdiri daripada 23 pelajar perempuan dan empat lelaki. Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindan berusia 54 tahun.

“Sementara itu, di dalam Perodua Alza, sepasang suami isteri masing-masing berusia 37 dan 36 tahun serta seorang anak perempuan berusia enam tahun turut cedera, manakala seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun dilaporkan selamat.

“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke HRPB, Hospital Gerik, dan Hospital Baling untuk menerima rawatan. Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka telah dibenarkan pulang,” katanya.

Tambah beliau, rakaman percakapan pemandu kedua-dua kenderaan juga masih belum diambil berikutan mereka masih mendapatkan rawatan di hospital.

Terdahulu, media melaporkan 15 pelajar UPSI maut selepas bas dinaiki mereka terbabas di JRTB Jeli–Gerik, berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bas persiaran disewa pelajar sendiri untuk perayaan Aidiladha – Naib Canselor UPSI

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI