IPOH – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyerahkan kepada Kementerian Pengangkutan bagi menjalankan siasatan susulan nahas membabitkan bas persiaran yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Jalan Raya Timur- Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi Isnin.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, beliau juga sudah berbincang mengenai perkara itu dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pagi tadi.
“Pada peringkat ini, kita tidak perlu membincangkan perkara ini secara terperinci.
“Saya sudah berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pagi tadi. Kita akan serahkan kepada kementerian itu untuk menjalankan siasatan susulan.
“Masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi,” katanya pada sidang media di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada Isnin.
Beliau turut meminta rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan semua mangsa yang cedera agar segera pulih.
“Bagi mereka yang telah pergi, kita doakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPT, UPSI salur bantuan segera berjumlah RM3,000 kepada mangsa nahas kemalangan