IPOH – Pasukan bomba berjaya menemukan dengan selamat seorang remaja perempuan yang sesat di kawasan hutan berhampiran Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Tiga, Manjoi dekat sini, awal pagi Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.57 malam Sabtu.
Katanya, hasil maklumat awal mendapati remaja perempuan berusia 24 tahun itu telah melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran rumahnya.
“Sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya yang tiba di lokasi kejadian mendapati ahli keluarga sedang melakukan pencarian mangsa di sekitar rumah.
“Kemudiannya, salah seorang daripada mereka berjaya menghubungi telefon bimbit mangsa, dan remaja terbabit memaklumkan dia berasa takut serta berada berhampiran papan tanda Kampung Sungai Kati,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Sabarodzi berkata, pasukan bomba membantu melakukan pencarian sehingga remaja perempuan itu berjaya ditemukan dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa dibawa pulang ke rumahnya dan diserahkan kepada ahli keluarga,” tambah beliau.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohammad Norshazwan Mohd Puzi itu tamat pada jam 1.24 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: