PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang sering riuh-rendah mengkritik beliau apabila prestasi ringgit lemah berbanding mata wang negara serantau sebelum ini.
Namun Perdana Menteri berkata, golongan itu senyap sunyi apabila prestasi ringgit lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini.
Jelas beliau, rakyat perlu percaya dengan dasar yang sedang dilaksanakan kerajaan selain memahami prestasi ringgit yang banyak bergantung kepada isu ekonomi semasa dunia.
“Bila ringgit kita turun kena hamput, balun, gagal dan begitu begini. Perdana Menteri kena turun, sekarang ringgit sudah naik, jadi perdana menteri kena naiklah. Itu logik yang tidak masuk akal. Tetapi dalam frasa Inggeris, stay the cost. Jangan tinggal dasar, kita ada kerangka Ekonomi Madani, kita ada langkah-langkah yang kita ambil. Kita lakukan dengan sedaya upaya kita.
“Jadi mudah-mudahan kita kekalkan pengukuhan ini. Tapi bila kukuh senyap sunyi tetapi bila lemah sedikit riuh rendah padahal tidak boleh tengok keadaan ekonomi begitu. Umpamanya perang serangan Israel yang dibalas Iran, katakan merebak, dia (ringgit) akan merundum pula.
“Itu ada beberapa kesan di luar kawalan kita. Tetapi bila keadaan tenang, pengurusan ekonomi itu penting dan angka-angka itu membuktikan kita urus baik atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut membandingkan prestasi ringgit pada 2023 berbanding dolar AS yang berada pada paras RM4.59 dan pada tahun 2024yang kukuh sedikit kepada paras RM4.47.
Malah kata beliau, prestasi ringgit pada suku pertama 2025 terus mengukuh pada paras RM4.43.
“Jadi maknanya kalau lihat pada 18 Jun 2025, ringgit berada paras RM4.25 di mana mengukuh 5.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat.
“Maknanya mengatasi mata wang utama serantau lainnya naik 6.3 peratus berbanding rupiah, naik 3.6 peratus, renminbi China, naik 3.2 peratu peso Filipina, dengan dolar Australia 0.6 operatus dan baht Thailand 0.1 peratus.
“Ini bukan menteri kewangan sahaja, yang lebih penting bagaimana Bank Negara menguruskan, Perbendaharaan mengatur dan semua agensi yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, ringgit memulakan dagangan hari ini dengan prestasi lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), ketika pelabur kekal berhati-hati susulan ketegangan yang semakin meruncing di Timur Tengah, khususnya melibatkan konflik Israel-Iran.
Pada pukul 8.00 pagi, mata wang tempatan itu meningkat ke paras 4.2490/2700 berbanding dolar AS, berbanding penutupan 4.2590/2625 semalam.
Sentimen berhati-hati dijangka berterusan apabila para pelabur memantau perkembangan konflik di Timur Tengah serta potensi tindak balas dari Amerika Syarikat terhadap tekanan geopolitik dan ketidakstabilan pasaran. – MalaysiaGazette