BATU GAJAH – Pengamal media diingatkan agar lebih peka terhadap keperluan mencarum menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ketua Cawangan Penjenamaan, Perhubungan Media dan Editorial PERKESO, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, ini kerana profesion wartawan dan jurugambar lapangan mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko seperti kemalangan serta kecederaan ketika bertugas.
Katanya, di bawah SKSPS, kumpulan bekerja sendiri termasuk wartawan bebas dan jurugambar layak menerima pelbagai faedah termasuk cuti sakit bergaji, elaun hilang upaya kekal serta pencen penakat kepada waris sekiranya berlaku kematian.
“Petugas media bukan hanya duduk di pejabat. Mereka bekerja siang dan malam, di atas jalan raya, stadium dan lokasi liputan yang pelbagai, semua itu membawa risiko tinggi.
“Pemantauan kita dalam tempoh beberapa tahun ini pula, boleh dikatakan hampir setiap minggu kita menyantuni golongan media yang rata-ratanya memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Ziarah Media Perak ke kediaman wartawan sambilan Bernama, Razif Rosli, 41, yang mengalami kecederaan meniskus lutut kanan serta masalah buah pinggang di Taman Metro Pengkalan, dekat sini pada Selasa.
Pada program sama, turut disantuni jurugambar The China Press, Wong Jin Sum, 53 yang mengalami strok ringan, serta wartawan Malaysian Nanban S Balakrishnan, 64, yang menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi di kediaman masing-masing di Lahat dan Klebang.
Turut hadir ke Ziarah Media Perak, Pengarah PERKESO Perak, V Mohanadas serta Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.
Dalam pada Tengku Khalidah berkata, berdasarkan pemantauan semasa, masih ramai wartawan sambilan, bebas dan yang telah bersara wajib, tidak lagi dilindungi PERKESO apabila mereka tidak mempunyai majikan tetap.
“Bagi mereka yang berusia lebih 60 tahun atau bekerja sendiri, kami galakkan mencarum melalui SKSPS kerana skim ini tiada had umur dan menyediakan perlindungan menyeluruh,” ujarnya.
Pada masa sama beliau berkata, program Ziarah Prihatin merupakan platform dalam menyampaikan manfaat SKSPS.
“Melalui program ini, kita bukan sahaja menyantuni tetapi juga menilai bentuk bantuan yang boleh disalurkan,” katanya.
Sementara itu, Razif berharap agar program sama dapat diperluas bagi memberi lebih kefahaman kepada pengamal media yang berdepan masalah kesihatan yang sama.
“Buat masa ini, penyakit di bahagian kaki kanan saya ini sudah beransur sembuh, namun masih memerlukan rawatan daripada doktor untuk tindakan penyembuhan,” ujar beliau.
Bagi Jin Sum pula, kunjungan itu memberinya alternatif baru untuk menjalani perkhidmatan fisioterapi yang disediakan di bawah skim PERKESO.
“Sebelum ini saya tidak tahu. Selama setahun saya buat rawatan fisioterapi di hospital kerajaan, sebulan sekali kerana terpaksa menunggu giliran,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: