SEBUAH pekan kecil di Simpang Pulai, Gopeng pernah menjadi saksi kepada kerancakan aktiviti perniagaan dan tumpuan penduduk ketika era kegemilangan perlombongan bijih timah sekitar abad ke-19.
Kini, Pekan Kampung Kepayang Sungai Raya itu tidak ubah seperti set penggambaran filem bertemakan pasca apokaliptik atau ‘zombie’ apabila deretan kedainya terbiar tanpa penghuni dan semakin dimamah usia.
Namun, di celah bangunan berusia lebih 100 tahun itu, wujud sebuah kedai gunting rambut, juga satu-satunya premis yang masih beroperasi, miliki R. Gnaseregaran, 74.
Menurut datuk kepada lima cucu itu, dia tetap memilih untuk terus bertahan kerana bangunan kedai tersebut mempunyai nilai sentimental buat dirinya.
“Perniagaan saya masih berjalan baik. Dalam sehari, saya dapat sekitar lima hingga tujuh pelanggan, sama ada pelanggan tetap atau baharu.
“Walaupun sukar untuk meletak kenderaan kerana kedai ini terletak di tepi Jalan Gopeng yang sibuk, saya bersyukur kerana mereka tetap datang,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette baru-baru ini.
Gnaseregaran yang tinggal di salah satu lot kedai berhampiran bersama isterinya yang berusia 58 tahun, memulakan operasi seawal jam 10 pagi hingga 7.30 malam setiap hari.
Katanya, minatnya dalam bidang menggunting rambut tidak pernah luntur, biarpun pernah mengalami kemalangan motosikal sehingga kaki kanannya dimasukkan besi lebih setahun lalu.
“Anak-anak saya pernah minta saya berhenti dan berehat saja di rumah. Tapi saya memang tidak boleh duduk diam. Saya seronok dengan kerja ini dan akan teruskan selagi mampu bergerak,” ujarnya.
Beliau berkata, bapanya memulakan perniagaan kedai gunting rambut di kedai sama selepas berhijrah dari Kedah ke pekan berkenaan pada tahun 1952.
Anak keempat daripada dua belas beradik itu menjelaskan, minatnya terhadap bidang tersebut timbul selepas kerap membantu bapanya di kedai.
“Saya ambil alih perniagaan sekitar tahun 1965. Sekarang kedai ini ada satu cawangan di Bandar Simpang Pulai yang diuruskan oleh anak saudara saya,” katanya.
Saksi kemeriahan pekan kecil yang semakin pudar
Gnaseregaran turut menjadi saksi hidup kepada perubahan wajah pekan yang suatu ketika dahulu meriah dengan hiruk-pikuk peniaga dan pelanggan, namun kini kian sepi ditelan arus pemodenan.
Menurutnya, Pekan Kampung Kepayang Sungai Raya pernah menjadi lokasi tumpuan utama hasil perniagaan dan perdagangan bijih timah pada zaman kegemilangannya.
“Dulu, ada sekitar 70 kedai di sini. Ada yang jual getah, bijih timah, kedai kopi, kedai runcit, besi, tukang jahit dan macam-macam lagi.
“Pekan ini sangat meriah. Penduduk dari kampung luar seperti Pengkalan Pegoh yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sini pun datang untuk membeli barangan harian.
“Selain itu, pernah juga ada pejabat pos dan balai polis beroperasi di sini,” katanya.
Namun katanya, pembukaan bandar dan kawasan perniagaan baharu di sekitar Simpang Pulai bermula pada tahun 1980-an menyebabkan ramai peniaga berpindah keluar dari pekan itu.
“Mereka berpindah kerana premis kedai baru lebih selesa dan tidak usang. Mereka juga lebih mudah mendapatkan pinjaman bank,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ustazah Ruby cekal beri didikan agama kepada murid Orang Asli