KEJAYAAN Perak merekodkan jumlah pengeluaran perikanan sebanyak 298.6 ribu tan metrik pada 2023 membuktikan negeri ini berpotensi kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara melibatkan sektor perikanan.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga menyatakan jumlah tersebut sekali gus menjadikan Perak sebagai pengeluar tertinggi hasil perikanan di Malaysia.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, kuantiti jualan subsektor perikanan tangkapan di Perak pada tahun sama mencatatkan jumlah 298.4 ribu tan metrik dengan nilai hasil jualan sebanyak RM2.36 bilion.
Bagan Datuk merupakan daerah tertinggi bagi kuantiti pengeluaran iaitu sebanyak 125.4 ribu tan metrik tangkapan diikuti dengan Manjung (86.7 ribu tan metrik) serta Larut, Matang dan Selama (59.5 ribu tan metrik).
Maka tidak hairanlah apabila Kerajaan Negeri Perak mengumumkan bakal membina Taman Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk (BDIFIP) di wilayah Baroh daerah Bagan Datuk.
Projek bernilai RM2 bilion itu akan dibangun secara berperingkat selama enam tahun bermula 2027 hingga 2033 selepas Majlis prapelancaran BDIFIP pada 14 Jun lalu.
Projek ini akan dilaksanakan di atas tanah milik Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) seluas 316 ekar di lokasi strategik yang secara semula jadi sudah menjadi pusat pendaratan ikan terbesar di Perak.
Pembangunan BDIFIP dijangka melonjakkan Bagan Datuk sebagai hab perdagangan makanan laut bertaraf antarabangsa.
Inisiatif strategik itu dijangka memacu transformasi ekonomi biru negeri Perak ke tahap yang lebih tinggi selain membuka lembaran baharu dalam landskap pembangunan industri halal negara, malah turut memperkukuh kedudukan Perak dalam rantaian nilai industri makanan laut serantau yang semakin berkembang.
BDIFIP mampu wujudkan 5,500 peluang pekerjaan baharu
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani dalam teks ucapan beliau semasa Pra Pelancaran BDIFIP yang dibaca Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, BDIFIP menjadi cerminan iltizam Kerajaan Negeri dalam merintis pembangunan berimpak tinggi melalui industri perikanan dan halal.
Beliau berkata, dua sektor itu merupakan masa hadapan yang berpotensi besar menyumbang kepada kemakmuran rakyat dan negeri.
“Dengan potensi menjadi hab pemprosesan dan pengedaran utama produk marin di rantau ini, BDIFIP memerlukan rakan pelaksana yang berkemampuan tinggi dari segi teknikal dan kewangan untuk menjamin kejayaan projek serta menarik pelaburan strategik.
“Selain sumbangan kepada industri, projek ini juga akan membawa limpahan manfaat kepada penduduk tempatan dan komuniti sekitar khususnya dari aspek pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran,” katanya.
Katanya lagi, pembangunan BDIFIP juga diunjurkan mampu mewujudkan kira-kira 5,500 peluang pekerjaan baharu merentas pelbagai spektrum kemahiran.
“Ia sekali gus membuka ruang penyertaan generasi muda menceburi industri, meningkatkan mobiliti sosial, serta menyediakan nelayan tradisional ke industri bernilai tambah tinggi.
“Dengan pembangunan infrastruktur strategik seperti jalan raya, utiliti, dan sistem logistik canggih, BDIFIP akan memperkukuhkan keupayaan rangkaian pembekal daripada bahan mentah hingga perkhidmatan sokongan, sektor pengangkutan hingga peruncitan.
“Pendekatan inklusif ini membantu generasi muda, usahawan wanita, serta perusahaan mikro dan tempatan, mewujudkan ekosistem ekonomi yang kukuh,” katanya.
BDIFIP selari Pelan Perak Sejahtera 2030
Saarani berkata, pembangunan BDIFIP juga selari dengan matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan ekonomi yang mampan dan menyeluruh.
Katanya, ia mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri Perak untuk memastikan pembangunan tidak tertumpu di kawasan bandar semata-mata, sebaliknya menjangkau wilayah luar bandar secara inklusif dan saksama
“Dengan kedudukan geografi yang kaya dengan khazanah sumber marin, negeri Perak mempunyai tanggungjawab untuk mengurus potensi ini secara bijaksana dan lestari.
“Pemanfaatan yang terancang akan memastikan kesinambungan hasil laut negeri, bukan sahaja kepada generasi kini, malah untuk generasi yang akan datang,” katanya.
Jelas Saarani lagi, BDIFIP juga bakal memperkukuh rantaian nilai industri makanan laut negeri dengan penyediaan kemudahan yang menyeluruh.
Tambahnya, ia meliputi logistik rantai sejuk, sistem pembungkusan canggih, fasiliti penyimpanan berteknologi tinggi, serta pusat eksport produk halal yang menepati piawaian antarabangsa.
“Ini akan mengangkat produk perikanan Perak ke pasaran antarabangsa dan memantapkan kedudukan negeri sebagai pemain utama dalam perdagangan makanan halal serantau.
“Kerajaan Negeri yakin bahawa projek ini bukan sahaja akan memperkukuh daya saing sektor perikanan Perak, tetapi turut menjadikan Bagan Datuk sebagai hab strategik perikanan antarabangsa dan pengeluar utama produk makanan halal di rantau Asia,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: