IPOH – Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti status sebenar sebutir bom mortar 81mm yang ditemukan di Kilometer 265 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Terowong Menora, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan termasuk bagi mengesahkan sama ada bahan letupan yang dikategorikan sebagai unexploded ordnance (UXO) itu merupakan tinggalan era Perang Dunia Kedua atau sebaliknya.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana bom yang tidak meletup tersebut boleh berada di lokasi berkenaan.
“Bagaimanapun, situasi di lokasi disahkan selamat selepas bom berkenaan dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada hari yang sama ia ditemukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas di Mes Pegawai Kanan Polis, IPK Perak, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisam menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri sekiranya menemui objek mencurigakan yang menyerupai bahan letupan.
“Segera laporkan kepada pihak polis. Negara kita pernah melalui zaman Perang Dunia Kedua dan Darurat, jadi tidak mustahil bahan letupan seumpama ini masih boleh ditemui, termasuk di kawasan hutan atau kampung,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan sebutir bom mortar 81mm yang dipercayai UXO ditemui di kawasan berhampiran Terowong Menora di lebuh raya berkenaan.
Objek itu ditemui oleh pekerja penyelenggaraan ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan landskap dan rumput pada kira-kira jam 9.30 pagi.
Pihak polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi dan berjaya melaksanakan operasi pemusnahan bom tersebut tanpa sebarang insiden atau kemalangan pada sekitar jam 1 tengah hari. – MG Perak
Artikel Berkaitan: