KEJAYAAN Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong mencatat kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara ‘hatrik’ sejak 2023 bukan sahaja membuktikan kecemerlangan akademik sekolah itu, malah mencerminkan keberkesanan agenda pembangunan pendidikan negeri di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.
Dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 5.0 mata bagi tahun 2025, kualiti keputusan turut meningkat apabila seramai dua orang calon berjaya memperoleh keputusan 6A.
Sebagai satu-satunya sekolah menengah di Perak yang menempatkan keseluruhan pelajar terdiri daripada komuniti Orang Asli, pencapaian ini memperlihatkan bahawa jurang pendidikan antara kawasan pedalaman dan bandar mampu dirapatkan melalui intervensi tersusun.
Penyediaan akses kepada bahan pembelajaran berkualiti seperti buku rujukan tambahan menerusi Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan modal insan inklusif tanpa meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat.

Ketua Panitia Bahasa Melayu SMK Bawong, Noorisu Ismail berkata, program melibatkan pelajar Tingkatan Lima yang menduduki SPM dilaksanakan dari awal tahun menerusi kelas persediaan petang berjadual yang melibatkan semua subjek teras dan elektif.
Menurutnya, inisiatif tersebut kemudiannya diperkukuh dengan pelaksanaan program latih tubi berterusan serta bengkel teknik menjawab peperiksaan yang menampilkan penceramah jemputan dari luar bagi beberapa mata pelajaran tertentu.
“Selain itu, pihak sekolah turut menerima sumbangan penuh daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk menganjurkan bengkel teknik menjawab dengan memberi pendedahan kepada calon cara menjawab soalan yang lebih efektif dalam suasana pembelajaran kondusif.
“Pada masa sama, sekolah melaksanakan kelas berfokus menerusi pembahagian murid mengikut tahap potensi masing-masing kepada kategori Cemerlang, Sederhana dan Harapan Lulus bagi memastikan intervensi akademik dapat disesuaikan dengan keperluan setiap pelajar.

“Bagi pelajar yang berpotensi mencapai kecemerlangan, penekanan diberikan kepada penguasaan subjek kritikal seperti Sains dan Matematik, manakala pelajar yang lemah diberi tumpuan khusus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai strategi memperkukuh asas kelulusan.
“Selepas peperiksaan percubaan pula, sekolah melaksanakan program intensif dikenali sebagai ‘Last Lap’ yang telah dijalankan secara konsisten selama tiga tahun, dengan pengasingan murid dibuat berdasarkan pencapaian pelajar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di SMK Bawong, Sungai Siput baru-baru ini.
Menyentuh mengenai TCS, Noorisu berkata, bermula tahun lalu sekolah tersebut dibekalkan buku rujukan tambahan serta modul latih tubi kepada calon SPM namun program tuisyen itu masih belum dilaksanakan.
“Tahun lalu pihak sekolah dibekalkan dengan modul latihan subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Sains, Matematik dengan Bahasa Inggeris, lima subjek untuk pelajar yang menduduki SPM.
“Jadi untuk tahun ini pihak sekolah memang berharap sangat supaya TCS memasukkan nama sekolah SMK Bawong dalam program tuisyen terutamanya untuk beri bantuan waktu kelas hujung minggu dan juga waktu pelajar tidak pulang ke rumah,” jelasnya.

Sementara itu, Nirzarkri Nain, 18, yang sebelum ini sentiasa gagal dalam subjek Matematik berjaya memperolehi keputusan A pada SPM 2025 telah membuktikan intervensi akademik yang tersusun mampu mengubah pencapaian pelajar dalam tempoh singkat.
Ibu bapanya, Rambut@Kamaruddin Karim, 43 dan Norain Alang, 40, juga tidak menyangka anak sulung mereka mampu mencatat peningkatan ketara dalam tempoh singkat.
Nirzarkri berkata, buku rujukan tambahan TCS banyak membantunya dan dijadikan rujukan utama sebelum menghadapi SPM.
Anak sulung kepada empat adik beradik berkata, dia melakukan banyak latihan yang terdapat dalam buku tersebut selain membantunya ketika ulang kaji pada waktu prep di asrama.
“Pada peringkat peperiksaan percubaan SPM saya hanya mendapat 3A dan beberapa subjek lain gagal, termasuk subjek Matematik.
“Bagaimanapun, saya agak terkejut apabila saya meraih 6A 1B, dengan subjek Matematik yang sebelum ini sentiasa mendapat gred G telah naik kepada gred A,” katanya yang menetap di Kampung Santeh, Pos Legap, di sini.
Menyimpan hasrat untuk menjadi guru, Nirzarkri berharap dapat merealisasikannya dan boleh mengembalikan semula kepada komuniti pada masa hadapan.

Sementara itu, seorang lagi pelajar SMK Bawong, Mek Sofiah Suhairi, 18, turut memanfaatkan buku rujukan tambahan TCS sebagai bahan sokongan pembelajaran.
Dia yang memperoleh keputusan 6A 2B dalam SPM 2025 tidak mengikuti kelas tuisyen secara formal, sebaliknya menggunakan buku rujukan yang dibekalkan bagi meningkatkan kefahaman, khususnya melalui latihan berbentuk soalan objektif.
“Kami di sini susah untuk dapatkan tuisyen luar kerana lokasi sekolah yang jauh, jadi buku ini sangat membantu.
“Latihan dalam buku ini banyak membantu kami memahami soalan, terutama bagi subjek Matematik dan Sejarah,” ujarnya yang tinggal di Kampung Bersah, Kuala Mu.

Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilihamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut memastikan masyarakat Orang Asli tidak dibiarkan terpinggir.
Menerusi pelan tersebut, masyarakat Orang Asli dilihat mula mendapat tempat bukan sahaja dari sektor pendidikan malah membantu menaikkan sektor ekopelancongan, pertanian moden, pendidikan tinggi dan latihan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rasila nekad ubah nasib anak-anak orang asli menerusi pendidikan


