KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang giat membantu mangsa dan waris pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dalam membuat tuntutan insurans kepada pihak yang terlibat.
Berdasarkan rekod APAD, 37 waris mangsa menetap di Terengganu, empat di Kelantan, masing-masing seorang di Kuala Lumpur dan Johor.
Menurutnya, APAD telah mendapatkan bantuan dari pihak UPSI bagi membantu menghubungi semua mangsa atau waris bagi tujuan pengumpulan dan pengesahan maklumat berkaitan.
Oleh itu, APAD juga memohon kerjasama mana-mana mangsa atau waris untuk menghubungi pegawai APAD, Puan Ameera Mohd Ali di talian 03-2603 6763 atau emel ameera@apad.gov.my bagi tujuan penyelarasan tuntutan insurans berkenaan.
Selain itu, mangsa atau waris juga boleh berhubung terus kepada pejabat cawangan APAD yang berhampiran untuk maklumat lanjut.
APAD dalam kenyataannya turut menzahirkan rasa simpati dan dukacita di atas insiden yang melibatkan kehilangan 15 nyawa dan kecederaan kepada beberapa orang pelajar di dalam bas persiaran tersebut dan komited memastikan kebajikan mangsa serta waris sentiasa diberi perhatian yang sewajarnya melalui tuntutan kepada pihak insurans yang berkenaan.
Tambahnya, APAD juga sentiasa memantau aspek keselamatan operasi pengangkutan awam darat melalui Pelabuhan Keperluan Tahap Perkhidmatan termasuk syarat-syarat lesen yang wajib dipatuhi oleh semua pengendali. – MalaysiaGazette