TELUK INTAN – Polis menyerbu 12 pusat jual beli sawit (REM) berlesen selepas didapati berlakunya kegiatan curi dan penyelewengan urusan jual beli buah kelapa sawit di sekitar daerah Hilir Perak dalam Ops Helang Hilir Fasa 1 yang diadakan Rabu lalu.
Pada operasi sama, pemeriksaan turut dijalankan ke atas sebuah premis pembeli buah sawit tanpa lesen serta seorang pembeli buah sawit yang bergerak menggunakan kenderaan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, seramai 21 individu turut ditahan melibatkan enam lelaki dan 15 wanita berusia antara 20 hingga 63 tahun dalam operasi yang dijalankan bermula jam 10 pagi hingga 5 petang itu.
Menurutnya, sebanyak 18 jenis barangan turut dirampas pada operasi itu antaranya lesen perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), set komputer, resit jual beli buah sawit dan kenderaan pacuan empat roda.
“Menerusi pemeriksaan yang dijalankan, mereka yang ditahan bekerja sebagai kerani, penyelia rem sawit dan peniaga yang menjalankan jual beli buah sawit tanpa lesen.
“Semakan mendapati dua daripada individu terbabit mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua tangkapan direman Mahkamah Majistret Teluk Intan semalam dan diberikan jaminan polis.
Dalam perkembangan sama, Bakri berkata, siasatan awal menunjukkan wujud elemen penipuan, penyelewengan serta pemalsuan dokumen di premis terlibat.
“Siasatan terhadap 12 premis berlesen dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala dua pembeli tidak berlesen dirujuk kepada MPOB untuk tindakan di bawah Seksyen 5 Akta Lembaga Minyak Sawit 1998,“ ujarnya.
Katanya, siasatan lanjut juga akan dijalankan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi meneliti jika berlaku pelanggaran di bawah akta berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis masih siasat penemuan bom mortar berhampiran Terowong Menora