SUNGAI SIPUT – Kerajaan Negeri Perak komited bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dengan merangka pelan simpanan stok makanan yang kini dalam peringkat kajian.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Mohd Zolkafly Harun berkata, pelan itu juga sebagai langkah memastikan bekalan makanan mencukupi bagi tempoh jangka panjang susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Menurutnya, perancangan ini merangkumi penyediaan stok makanan asas seperti ikan dan beras bagi tempoh enam bulan hingga setahun dengan penglibatan pelbagai peringkat termasuk negeri dan daerah.
“Kita ada satu pelan kita telah buat dan di peringkat kajian dan sedang meneliti untuk mengadakan stok ikan untuk enam bulan, untuk setahun dan sebagainya.

“Ini akan melibatkan korum, daerah dan sebagainya. InshaAllah perkara-perkara yang ini kita akan menjadi perhatian kepada kita,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu, di sini pada Sabtu. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zolkafly berkata, bagaimanapun, tindakan untuk melaksanakan perkara ini adalah berdasarkan kedudukan kewangan semasa kerajaan.
“Namun begitu, alhamdulillah, di peringkat kerajaan pusat, khususnya di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah tersedia pelan tindakan berkaitan pengurusan stok ikan dan sebagainya,“ ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah lama merancang langkah persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan krisis, termasuk konflik di Asia Barat.

“Memangnya kita (kerajaan negeri) telah lama merancang. Apabila berlaku sahaja krisis ataupun konflik di Asia Barat, kerajaan negeri telah pun mengambil tindakan. Dalam mengambil tindakan, kita meneliti penjajaran yang boleh dilaksanakan bagi membantu golongan yang terkesan,“ ujarnya.
Katanya, golongan diambil kira termasuk petani, penternak, nelayan, pesawah, pekerja kilang dan lain-lain.
“Semua diambil kira. Alhamdulillah, ada beberapa perkara yang telah kita putuskan dan ada juga yang sedang dikaji, khususnya keperluan bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutama dalam menghadapi krisis tenaga pada masa ini,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Krisis Asia Barat: Negara berisiko hadapi darurat tenaga, bekalan makanan


