IPOH – Seramai 3,000 penduduk daripada enam taman perumahan di sini terpaksa berdepan situasi banjir kilat yang menyebabkan Jalan Chemor-Tanjung Rambutan terputus setiap kali hujan lebat melebihi sejam.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Kinding Permai, Rosidi Mohd Rejab berkata, masalah yang berlarutan hampir 10 tahun itu memberi kesan kepada penduduk di Taman Kinding Permai, Kinding Hijauan, Kinding Akasia, Kinding Raya, Kinding Flora dan Kinding Perdana.
Menurutnya, setiap kali hujan lebat berterusan, penduduk mengalami kesukaran untuk menggunakan laluan utama tersebut, khususnya mereka yang pulang dari tempat kerja atau sekolah.
“Banjir kilat biasanya menenggelamkan jalan sepanjang kira-kira 500 meter dengan kedalaman sehingga boleh capai paras pinggang, menyukarkan motosikal dan kereta untuk melaluinya.
“Penduduk yang pulang dari bekerja atau pelajar yang baru habis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) terpaksa menunggu tiga hingga empat jam sehingga air surut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad ke lokasi, pada Selasa.
Rosidi yang juga Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berkata, jalan tersebut merupakan laluan antara utama yang menghubungkan Ipoh dengan Sungai Siput, menyebabkan ia kerap dilalui kenderaan terutama pada waktu puncak.
Beliau mendakwa, keadaan anak sungai berhampiran yang semakin cetek akibat hakisan dipercayai menjadi antara punca utama berlakunya banjir kilat.
“Apabila hujan lebat, air dari bukit berhampiran mengalir deras ke kawasan ini dan menyebabkan jalan raya terputus.
“Kemudian, kenderaan dari kedua-dua arah terpaksa berhenti, sekali gus menyulitkan pergerakan penduduk di enam taman perumahan berhampiran,” ujarnya.
Sementara itu, Muhamad Arafat berkata, masalah berkenaan akan dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pihaknya juga telah memanjangkan perkara tersebut kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak serta MBI.
“Untuk penyelesaian jangka panjang, PTG bersetuju mewujudkan kolam tadahan di kawasan berhampiran, manakala JKR mencadangkan pembinaan pembentung atau ‘culvert’.
“MBI pula mengusulkan pemasangan konkrit di sepanjang anak sungai bagi mengelak hakisan berterusan,” katanya.
Beliau menambah, MBI akan memulakan kerja pelebaran anak sungai pada Rabu memandangkan cuaca hujan yang kerap berlaku kebelakangan ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: