IPOH – Kira-kira 270 jemaah haji Malaysia berdepan detik mencemaskan apabila mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej haji seperti yang tidak dijanjikan oleh sebuah syarikat pelancongan pada tahun lalu.
Salah seorang mangsa, Mai Akmal Mohamad, 35, berkata syarikat itu pada awalnya menjanjikan visa haji, namun sebaliknya hanya memberikan visa pelancong ketika mereka berada di Tanah Suci.
“Kami menghadapi pelbagai kesukaran ketika menunaikan ibadah. Selepas meminta gelang haji (pengenalan diri) dan visa haji, kami tidak diberikan sebaliknya hanya menerima gelang ‘dummy’.
“Ketika itu saya sudah mengesyaki berlaku penipuan. Sepanjang tempoh menunggu Hari Arafah, keadaan sangat menakutkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Rabu.
Mai Akma mendakwa, ketika kerajaan Arab Saudi mula mengetatkan sekatan terhadap jemaah tanpa visa sah, kesemua mereka hidup dalam kebimbangan di sana.
Dia mendakwa, pihak syarikat juga mengarahkan semua jemaah untuk menutup lampu dan penghawa dingin di hotel kononnya bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Setiap malam kami terpaksa bergelap di dalam bilik hotel. Malah, kami mendengar ada jemaah dari negara lain yang ditahan pihak berkuasa Arab Saudi di hotel yang sama,” katanya lagi.
Wanita itu turut mendakwa mutawif yang dilantik syarikat gagal melaksanakan tugas dengan baik, selain mereka berdepan pelbagai kesukaran untuk pulang ke tanah air.
Mai Akma yang membelanjakan hampir RM50,000 bagi pakej itu berkata, dia mengambil langkah membuat aduan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) pada awal tahun ini.
Katanya, beberapa jemaah lain turut akan mengambil tindakan sama, selain kes itu kini dirujuk kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tabung Haji untuk tindakan lanjut.
“Saya juga telah memaklumkan perkara ini kepada ketua pegawai eksekutif syarikat yang diusahakan sepasang suami isteri.
“Selama ini saya mengikuti perkembangan syarikat itu di Facebook dan tidak pernah terfikir perkara sebegini boleh berlaku.
“Syarikat itu sebelum ini mendakwa Mujamalah adalah visa dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi yang hanya diberikan kepada individu atau kumpulan tertentu,” ujarnya.
Susulan itu, Mai Akma menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak swasta yang menawarkan pakej haji atau umrah.
“Buat semakan dengan pihak berkuasa khususnya Tabung Haji terlebih dahulu untuk memastikan syarikat berkenaan berdaftar dan sah,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jemaah haji dinasihat elak terdedah cuaca terik, ikut perintah ‘lockdown’