IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menegaskan tidak memberi sebarang kebenaran atau kelulusan rasmi kepada sebuah penganjur bagi mengadakan acara kebudayaan dan makanan di kawasan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan, di sini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, MBI memaklumkan bahawa promosi yang dilakukan adalah satu bentuk iklan palsu dan mengelirukan, dan menasihatkan orang awam serta vendor yang berminat supaya berhati-hati.
“MBI tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami oleh mana-mana pihak yang menerima tawaran atau menyertai acara yang diiklankan secara tidak sah ini.
“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan untuk menghubungi wakil rasmi MBI melalui saluran yang disahkan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berkaitan sebarang acara atau aktiviti yang melibatkan MBI,“ jelas kenyataan tersebut.
Kenyataan itu turut menyatakan MBI memberi amaran keras bahawa tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati memburukkan, memperlekeh atau mencemarkan nama baik MBI melalui penggunaan nama, premis, atau kapasiti rasmi kami tanpa kebenaran,“ tegasnya.
Terdahulu, tular di sebuah akaun TikTok yang memuat naik kandungan bertajuk ‘Ipoh Starlight Night Market – Global Vendor Recruitment!‘ dengan tujuan menarik penyertaan vendor ke acara berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MBI perkenal IpohGo, aplikasi pelancongan pintar bandar raya Ipoh