TAPAH – UMNO Perak menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berkemungkinan diadakan lebih awal daripada tahun 2027.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beberapa indikator politik semasa termasuk keperluan menghadapi tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Sabah, Melaka dan Johor, memberi bayangan bahawa PRU16 mungkin diselaraskan bagi menjimatkan kos dan tenaga.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Besar Perak menegaskan kuasa membubarkan Parlimen terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya berpandangan Parlimen boleh dibubarkan lebih awal, yang mana kalau dibubarkan pada Jun, ia sangat hampir dengan PRN Johor kerana PRN itu perlu diadakan pada awal 2027.
“Oleh itu saya jangka barangkali ia tidak mustahil (PRU16 boleh diadakan awal). Ia boleh diadakan secara serentak bagi menjimatkan kos dan tenaga. Walau bagaimanapun ia bukan kuasa saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tapah dan Majlis Kesyukuran Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah di Dewan Merdeka, dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali serta Setiausaha UMNO Bahagian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Saarani yang juga Pengerusi BN Perak menjelaskan, rentetan siri pilihan raya negeri tersebut perlu diambil kira dalam percaturan politik nasional memandangkan setiap satu daripadanya akan sampai tempoh matang masing-masing dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menurut beliau, selepas PRN Sabah tahun ini, negara akan berdepan PRN Melaka pada 2026 diikuti Johor pada awal 2027.
“Kalau tunggu hujung 2027 pula ada PRU16. Jadi berapa kali pilihan raya?
“Saya fikir ada kemungkinan disekalikan pilihan raya Johor dan pilihan raya umum untuk menjimatkan masa, tenaga dan juga wang,” katanya.
Pada masa sama, Saarani berkata, justeru semua anggota parti dalam komponen berkenaan perlu terus berusaha mendekati rakyat demi memperkukuhkan parti sebagai persediaan menghadapi PRU16.
Kata beliau, segala ‘rempah-ratus’ mengukir dalam kejayaan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning sebelum ini perlu dikekal dan dimantapkan.
Saarani berkata, selain perlu mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning, Chenderiang dan Parlimen Tapah, anggota parti turut perlu memastikan kemenangan di semua kerusi yang bakal dipertandingkan nanti.
“Kita ada masa dalam tempoh dua tahun sahaja lagi, dan apa yang telah kita lakukan semasa PRK Ayer Kuning dikekalkan dan jika ada kelemahan, segera diperbaiki.
“Ia supaya pada PRU16 nanti, kita tiada pilihan sebaliknya perlu mempertahankan kerusi DUN dan Parlimen di Tapah (serta semua kerusi yang ditandingi)”, katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Zambry calon potensi, BN intai kebangkitan di Lumut pada PRU16