IPOH – Perak menyatakan sokongan penuh terhadap peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), yang mewajibkan pengusaha pelancongan melaporkan sebarang insiden dalam tempoh 24 jam kepada pihak berkuasa.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee, menegaskan bahawa langkah tersebut wajar dilaksanakan bagi memperkukuh tahap keselamatan pelancong, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan MOTAC serta mengemukakan beberapa cadangan dalam melaksanakan peraturan ini.
“Beberapa cadangan telah dikemukakan, termasuk mempergiat pemeriksaan mengejut ke atas kenderaan pelancongan dan mewujudkan rondaan tetap di kawasan berisiko tinggi kemalangan.
“Menubuhkan rangkaian respons kecemasan pelancongan bersama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan unit perubatan kecemasan.
“Kemalangan boleh dicegah, keselamatan boleh dipertingkat, dan sistem boleh dibina. Kita mahu semua pelancong yang datang ke Perak merasai bukan sahaja keindahan alam dan kekayaan budaya.
“Tetapi juga keyakinan bahawa mereka (pelancong) berada di destinasi yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut menyeru semua pemain industri pelancongan dan pengendali pengangkutan supaya berganding bahu menjayakan pelaksanaan peraturan ini serta menempatkan aspek keselamatan sebagai keutamaan dalam operasi harian.
“Kerajaan negeri komited mentadbir industri pelancongan secara berintegriti demi menyediakan persekitaran pelancongan yang selamat, tersusun dan mampan menjelang TMM2026,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pengusaha pelancongan supaya memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Pengusaha pelancongan harus menggaji pemandu yang bebas daripada rekod jenayah dan kesalahan trafik berat, serta menyediakan latihan pertolongan cemas kepada pemandu pelancong dan kakitangan manakala pelancong wajib dilindungi insurans yang mencukupi.
“Keselamatan pelancong bukan hanya melibatkan nyawa individu semata-mata, tetapi turut memberi kesan langsung terhadap imej industri pelancongan negara serta pertumbuhan ekonomi.
Sebelum ini media melaporkan, tindakan MOTAC meminta syarikat pelancongan mengemukakan laporan dalam tempoh 24 jam selepas berlaku sebarang kemalangan bukan satu langkah keterlaluan, sebaliknya ia adalah tindakan tegas bagi menjamin keselamatan pelancong.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata, MOTAC tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan nyawa manusia, meskipun menerima kritikan daripada pihak industri termasuk Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPKT, MOTAC kerjasama jadikan pasar awam lokasi tarikan pelancong